Buang mitos ranking bola sepak tidak penting - Utusan Malaysia

Buang mitos ranking bola sepak tidak penting

PRESTASI terkini Harimau Malaya memberikan kesan positif kepada kedudukan ranking dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MESKIPUN gagal melayakkan diri ke pentas akhir Piala AFF 2022 baru-baru ini selepas tewas kepada Thailand di peringkat separuh akhir menerusi agregat 3-1, namun prestasi skuad Harimau Malaya memberikan kesan positif kepada kedudukan ranking dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Berada pada ranking ke-143 dunia ketika ini adalah satu pencapaian yang baik. Kali terakhir Harimau Malaya berada dalam kelompok 150 teratas dunia adalah pada 2014.

Kedudukan itu mampu dilonjakkan lagi sekiranya Harimau Malaya menunjukkan momentum positif pada aksi perlawanan persahabatan mengikut kalendar FIFA yang akan membuka tirainya pada pertengahan Mac ini nanti.

Keputusan positif pada perlawanan yang akan dirangka nanti amat penting kerana selain mampu menaikkan ranking Harimau Malaya ke kedudukan lebih baik ia sekali gus bakal memberikan slot yang lebih baik untuk undian Piala Asia 2023 nanti.

Mitos bahawa ranking bola sepak tidak penting perlu dibuang kerana apabila kedudukan sesuatu pasukan itu naik sudah pasti skuad lain akan berebut ingin mengadakan perlawanan persahabatan menentang Harimau Malaya.

Harus diingat juga, lonjakan ranking Harimau Malaya ketika ini turut disumbangkan oleh kejayaan menewaskan Brunei dan Hong Kong dalam aksi persahabatan serta mengalahkan Bangladesh dan Turkmenistan ketika kelayakan Piala Asia 2023 sehingga disenaraikan FIFA sebagai The Biggest Climbers menyertai pasukan Greece, Cuba dan Kazakhstan.

Imbas kembali, ranking terbaik yang pernah dicatat Harimau Malaya adalah 75 pada 1993, manakala pada 2018 adalah sejarah buruk dalam bola sepak negara apabila merudum ke kedudukan ke-178 iaitu kedudukan terburuk setakat ini.

Apapun, dalam keghairahan mengejar ranking, satu hal yang menarik untuk diperhatikan ialah mampukah dan bilakah agaknya Harimau Malaya dapat beraksi menentang pasukan-pasukan berkelas A dalam aksi persahabatan yang diiktiraf FIFA. Perkembangan ini sudah tentu amat dinantikan oleh semua peminat bola sepak tanah air.

Dalam pada itu, kejohanan bola sepak Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Qatar dari 16 Jun hingga 16 Julai ini nanti merupakan ujian sebenar bagi skuad Harimau Malaya. Keupayaan luar biasa dan sentuhan emas pengendali skuad itu, Kim Pan Gon sekali lagi menjadi harapan seluruh peminat bola sepak tanah air.

Bagi menghadapi saingan Piala Asia 2023, Harimau Malaya harus tampil berbeza dan Pan Gon perlu merencana strategi dengan pendekatan drastik bagi memastikan skuad kali ini mampu memberikan saingan terbaik.

Pan Gon tidak boleh lagi bergantung harap kepada pemain sedia ada kerana saingannya lebih sengit melibatkan kuasa besar bola sepak rantau Asia.

Pemain-pemain berpengalaman dan berkemahiran tinggi seperti Sharul Saad, Corbin Ong, Arif Aiman Hanafi, Akhyar Rashid, Matthew Davies, Syafiq Ahmad, Afiq Fazail dan Syahmi Safari perlu ‘dilepaskan’ untuk bersama skuad Harimau Malaya mengharungi piala itu kali ini.

Gandingan muka baharu dan lama akan lebih memantapkan kekuatan pasukan. Pemain-pemain semasa ketika ini seperti Faisal Halim, Brendan Gan, Stuart Wilkin, V. Ruventhiran, Haqimi Azim, Lee Tuck, Dominic Tan dan beberapa yang lain boleh terus dikekalkan.

Kali terakhir Harimau Malaya layak secara merit ke Piala Asia adalah pada 1980 di Kuwait tetapi gagal melepasi peringkat kumpulan.

Kini terpulanglah kepada Pan Gon untuk membawa Malaysia sekali lagi ke perlawan itu sekali gus menamatkan penantian selama 43 tahun. – UTUSAN

MOHD. SALLEH OSMAN, Presint 16, Putrajaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya