fbpx

Tun M tidak kalah, yang kalah itu kita

KINI Dr. Mahathir Mohamad berhasrat mengisi masanya yang ada dengan menulis agar idea-ideanya dapat digunakan oleh pelbagai pihak dan platform.

SAUDARA PENGARANG,

TUN Dr. Mahathir Mohamad tidak kalah, yang kalah ialah kita, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) serta gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membentuk Gagasan Bangsa (GB).

Dr. Mahathir mewakili sebuah idea akan terus hidup melangkaui zaman selama mana ada yang mahu menimba ilmu daripadanya.

Idea ini tidak duduk dalam organisasi atau parti yang jumud (fizikal).

Sesebuah parti akan melalui proses kematangan di samping memperbaiki kelemahan dari pelbagai aspek dan ditekan dengan sumber yang terhad. Maka apabila sesebuah parti kalah dalam pertandingan, ia kerana kelemahan organisasi, bukan idea.

Pejuang kalah teruk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, awal tahun ini. Untuk memperbaiki kelemahan itu, Dr. Mahathir menubuhkan Gerakan Tanah Air (GTA) dengan idea menyatukan sisa-sisa kekuatan yang ada dalam kalangan parti-parti Melayu.

Usaha ini dilihat tidak cukup dan beliau menjemput wakil-wakil NGO untuk bersama.

Usaha ini jelas sekali untuk mengatasi kelemahan parti agar lebih ramai wakil terlibat.

Sayangnya, kesilapan PRN Johor yang seharusnya menjadi wake up call tidak berlaku. Idea baharu yang Dr. Mahathir wujudkan ini juga gagal dimanfaatkan.

Walaupun Pejuang kalah, tetapi idea Dr. Mahathir masih segar dan berguna.

Contohnya, Dr. Mahathir melihat senario hari ini sebelum Pilihan Raya Umum Ke15 (PRU15) lagi iaitu parti-parti politik akan hadapi kesukaran untuk menang dengan majoriti mudah bagi menubuhkan kerajaan.

Beliau merendahkan diri untuk menghulurkan kerjasama tetapi ditolak. Hari ini kita dapat lihat bagaimana Pakatan Harapan (PH) terpaksa bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN). Lebih awal dari itu, semasa berlaku ‘Langkah Sheraton’, beliau mencadangkan sebuah kerajaan perpaduan untuk menstabilkan politik negara, juga ditolak oleh parti-parti politik. Tetapi hari ini, kerajaan perpaduanlah yang wujud.

Idea-idea beliau banyak lagi, namun tidak dapat dilaksanakan kerana GTA dan Pejuang telah kalah. Namun, idea-idea ini tetap subur dan pastinya akan digunakan serta diambil manfaatnya untuk rakyat dan negara oleh pelbagai pihak dan platform.

Kini beliau berhasrat untuk mengisi masanya yang ada dengan menulis. Menulis adalah satu idea yang tidak akan kering. -UTUSAN

MAHDZIR IBRAHIM
Pejuang Sri Gading

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN