Telekesihatan kini capai matlamat - Utusan Malaysia

Telekesihatan kini capai matlamat

APLIKASI MySejahtera terbukti berkesan bagi mengawal pandemik Covid-19. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, Dr. Zaliha Mustafa dilantik menerajui Kementerian Kesihatan. Beliau ialah wanita pertama dilantik ke jawatan itu. Sebenarnya, sepanjang diterajui menteri-menteri lelaki, banyak perubahan dibuat.

Pada 1996, apabila Koridor Raya Multimedia (MSC) mula dibentuk, kerajaan melancarkan satu projek nasional untuk membangunkan telekesihatan. Setahun kemudian, Pelan Tindakan Teleperubatan dihasilkan.

Dalam pelan tindakan berkenaan, lapan matlamat perkhidmatan kesihatan dikenal pasti. Antaranya penyediaan maklumat tepat dan kena pada waktunya.

Ia merangsang pengetahuan bagi membolehkan seseorang membuat keputusan kesihatan yang tepat dan untuk memperkasa dan membolehkan individu serta keluarga menguruskan kesihatan melalui pemindahan pengetahuan dan kemahiran.

Matlamat lain adalah memberikan perkhidmatan kepada kawasan perumahan luar bandar dan kota besar, pusat kesihatan dan pusat komuniti.

Tujuan matlamat ini untuk mewujudkan platform kesihatan digital digandingkan dengan kecerdasan buatan (AI) yang boleh membantu sektor perubatan untuk berkembang dalam empat perkara penting.

Pertama, membolehkan penjagaan kesihatan membuat ramalan. Ia mampu meramalkan apa bakal berlaku esok dari segi kesihatan seperti pandemik melalui pembangunan model-model ramalan.

Kedua, pencegahan. Ramalan-ramalan itu boleh membantu kita untuk mencegah sesuatu perkara sebelum ia menjadi masalah.

Ketiga, penjagaan kesihatan dikhususkan bagi setiap pesakit. Sebenarnya kebanyakan daripada lapan matlamat ini telah dilaksanakan melalui aplikasi MySejahtera dan alatan lain semasa pandemik.

Mutakhir

Aplikasi MySejahtera menyediakan saluran perkongsian maklumat daripada pihak berkuasa dan masyarakat di mana kerajaan boleh membuat hantaran maklumat yang dikemas kini dan berita mutakhir.

Orang ramai pula boleh memasukkan data berkaitan status kesihatan dan vaksinasi mereka selain daftar masuk untuk pengesanan kontak.

Aplikasi itu kini dibangunkan ke dalam format yang akan membolehkan orang ramai untuk terus menggunakannya sebagai sebahagian daripada rekod kesihatan peribadi mereka dan kemungkinan sebagai sebahagian daripada pelan kesihatan peribadi pada masa hadapan.

Kesihatan digital bukanlah konsep baharu. Ia telah lama disebut-sebut sebagai cara untuk terus maju ke hadapan.

Pada 1998, terdapat inisiatif untuk mewujudkan sistem teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) kesihatan di hospital dan klinik dan telah dilaksanakan di Hospital Selayang dan Hospital Putrajaya.

Ini akan membolehkan menjadi hospital digital tanpa kertas dan filem. Hari ini, kerajaan sedang mengkaji untuk melaksanakan Rekod Perubatan Elektronik (EMR) di semua hospital dan klinik kerajaan di seluruh negara.

Ini penting kerana EMR akan membolehkan kita membina rekod kesihatan sepanjang hayat (LHR) yang mustahak untuk membuat pelan kesihatan sepanjang hayat (LHP). LHP adalah salah satu daripada tiga inisiatif perintis dalam Pelan Tindakan Teleperubatan pada 1997.

Objektif utama LHP adalah untuk mereka bentuk, membangun dan melaksanakan pelan kesihatan sepanjang hayat yang disesuaikan dengan setiap pesakit, proaktif dan prospektif untuk mencapai penjagaan berterusan bagi memastikan seseorang berada dalam keadaan kesihatan sebaik mungkin. – UTUSAN

TAN SRI DR. ABU BAKAR SULEIMEN, Pengerusi Kumpulan Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya