fbpx

Teladan kepimpinan Anwar beri isyarat baharu buat penjawat awam

ANWAR Ibrahim bersalaman dengan penjawat awam selepas Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Bangunan Perdana Putra baru-baru ini.- UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

SAUDARA PENGARANG,

PENJAWAT awam sebagai pelaksana segala dasar-dasar awam sentiasa tertakluk kepada arahan dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh kerajaan yang memerintah.

Rekod pencapaian penjawat awam begitu membanggakan dengan upah yang kecil serta cengkaman kenaikan harga barangan dan perkhidmatan secara mendadak, mereka masih boleh meningkatkan penyampaian perkhidmatan mengikut arahan majikan tanpa mempersoalkannya.

Penjawat awam khususnya pada sepanjang masa adalah terikat kepada Pekeliling Perkhidmatan, etika Rules of Law yang dikeluarkan. Surat Akur Janji dan Perintah Am merangkumi disiplin, tata cara kewangan dan undang-undang yang berkuat kuasa mengikat mereka.

Peringatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadikan garis panduan baharu dalam tata kelola pentadbiran, penjimatan lebih konsisten bagi menghadapi kegawatan ekonomi yang dijangka berlaku pada tahun hadapan.

Sementara kakitangan awam tekun dan rajin bekerja akan berusaha mengadakan hubungan dengan negara-negara lain bagi membawa masuk pelaburan ke dalam negara ini. Pelabur amat penting bagi menyuburkan ekonomi negara agar lebih menyerlah seperti suatu ketika dahulu hingga kita mampu digelar gergasi ekonomi Asia. Banyak peluang pekerjaan dapat disediakan dengan inisiatif diberikan bagi menarik pelabur dan insentif yang boleh menarik mereka ke negara ini.

Penjimatan boleh dilakukan merentasi Kerajaan Persekutuan dan negeri, saiz Kabinet Persekutuan yang lebih kecil membolehkan seorang menteri bertanggungjawab kepada beberapa kementerian yang boleh digabungkan. Ini dijangka dapat menjimatkan perbelanjaan yang dibayar melalui perbendaharan negara, sementara Anwar sendiri sudah isytihar tidak akan mengambil wang gaji dan hanya bergantung kepada elaun ahli Parlimen sebagai saraan.

Ketetapan penggunaan kereta rasmi pula kepada kenderaan sedia ada yang jauh lebih rendah selenggaraannya berbanding Mercedes Benz S600.

Contoh kepimpinan yang ditunjukkan memberi isyarat baharu bahawa pemimpin lain serta warga perkhidmatan awam untuk mengambil teladan daripadanya.

Syabas diucapkan kepada Anwar. Semoga Malaysia terus maju di bawah pimpinan yang berwawasan serta menunjukan teladan yang baik kepada semua. Semoga perkhidmatan awam terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.-UTUSAN

YOSRI ABU MAHSIN
Putrajaya

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN