fbpx

Teknologi digital atasi kekurangan pekerja

PELAN Strategik 2021-2025 Jabatan Kerja Raya (JKR) menyasarkan 80 peratus penggunaan aplikasi Pemodelan Maklumat Pembinaan (BIM) menjelang 2025. – GAMBAR HIASAN

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, terdapat laporan sektor pembinaan negara berdepan isu kekurangan kira-kira 500,000 tenaga buruh disebabkan ramai pekerja asing yang meninggalkan Malaysia sebelum ini tidak kembali.

Isu ini menjadi perhatian kerana industri pembinaan juga merupakan satu perusahaan kompleks yang terdiri daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk buruh asing dalam melaksanakan sesebuah projek pembangunan.

Antara salah satu faktor penyumbang kejayaan projek ialah komunikasi berkesan. Bagaimanapun, masih terdapat kritikan sinis dalam pelaksanaan projek pembinaan yang kebanyakannya menyentuh kerjasama yang lemah dan komunikasi tidak berkesan dalam kalangan peserta projek.

Oleh itu, pihak berkepentingan amat digalakkan untuk mengenal pasti instrumen terbaik agar mampu mengatasi masalah komunikasi secara kolaboratif yang kurang efektif dalam projek pembinaan.

Di Malaysia, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah membentangkan cadangan untuk memperkasakan pembangunan digital melalui aplikasi Pemodelan Maklumat Pembinaan (BIM) sejak lima tahun lalu.

Terdapat beberapa contoh projek yang berjaya dibina menggunakan aplikasi BIM. Antaranya Institut Kanser Negara dan Kompleks Pentadbiran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Shah Alam.

Kesemua ini merupakan antara projek terawal yang menggunakan aplikasi BIM. Dalam projek tersebut, BIM digunakan semasa fasa reka bentuk seperti simulasi lokasi, visualisasi, penilaian reka bentuk, penilaian konflik, perancangan dan simulasi empat dimensi (4D) serta dokumentasi pemodelan.

Walaupun berkesan, kadar penggunaan BIM di Malaysia masih lagi pada tahap rendah iaitu 49 peratus berbanding 69 peratus di United Kingdom.

Oleh itu, marilah kita sama-sama menyokong Pelan Strategik 2021-2025 JKR yang menyasarkan 80 peratus penggunaan BIM menjelang 2025. – UTUSAN

DR. MD. ASRUL NASID MASROM dan YVONNE VALERIE LEONARD DOUDILIM, Pakar bidang pembinaan

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN