Tanah runtuh boleh berulang jika lalai - Utusan Malaysia

Tanah runtuh boleh berulang jika lalai

CERUN yang mempunyai kecondongan menegak dan curam lebih laju berlaku gerakan tanah berbanding cerun landai. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

JIKA ramai masih ingat pada 2019, disiarkan video iklan program kesedaran awam dan pendidikan mengenai tanah runtuh serta keselamatan cerun diterbitkan oleh Cawangan Kejuruteraan Cerun, Jabatan Kerja Raya (JKR).

Video bertajuk Cerun Yang Selamat Menyelamatkan Nyawa yang disiarkan di stesen-stesen televisyen tempatan itu menampilkan pelakon veteran, Datuk Rahim Razali sebagai seorang datuk berpesan, kalau ada kesan air dan rekahan di kaki cerun, itu tanda-tanda awal berlaku tanah runtuh.

Dengan adanya klip video sedemikian, ia boleh memberi kefahaman kepada orang ramai tentang fenomena alam dan bersedia jika wujud kemungkinan berlaku kejadian tanah runtuh. Kita hendaklah sama-sama prihatin soal keselamatan awam.

Cerun runtuh akan mendatangkan masalah besar kerana ia memutuskan jalan perhubungan dan kemungkinan berlaku kehilangan jiwa. Tragedi tanah runtuh melibatkan Father’s Organic Farm yang terletak kira-kira empat kilometer dari Genting Highlands yang mengorbankan banyak nyawa seharusnya dijadikan pengajaran oleh kita semua.

Menurut Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), sebanyak 31 lokasi panas dikenal pasti di seluruh negara sebagai kawasan berpotensi berlaku ancaman tanah runtuh jika fenomena hujan lebat berterusan semasa Monsun Timur Laut terutama di Pahang melibatkan kawasan peranginan Cameron Highlands dan Bukit Fraser.

Untuk rekod, sebanyak 7,305 tanah runtuh direkodkan JMG dari 1961 hingga November lalu di seluruh negara. Antara tindakan diambil oleh JMG adalah pemantauan berterusan iaitu memberi khidmat kepakaran teknikal bagi penilaian ancaman tanah runtuh, kerja pemetaan tanah runtuh bagi dijadikan input dalam analisis penghasilan peta bahaya dan risiko cerun.

Risiko

JMG juga memberi cadangan mengurangkan risiko tanah runtuh kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan melakukan siasatan terhadap sebarang pergerakan tanah seperti runtuhan batuan, tanah runtuh, banjir berlumpur, mendapan tanah dan lubang benam.

Kejadian tanah runtuh yang kerap berlaku adalah akibat cuaca iaitu hujan yang menyebabkan tanah bergerak secara perlahan atau laju. Gerakan tanah boleh berlaku secara kecil-kecilan dan mungkin berubah kepada besar-besaran bergantung kepada kandungan air, jenis tanah dan halangan semasa tanah bergerak turun.

Kecondongan cerun mempengaruhi kelajuan gerakan tanah. Cerun yang mempunyai kecondongan menegak dan curam lebih laju berlaku gerakan tanah berbanding cerun landai.

Selain itu, penduduk terutama berhampiran kawasan berbukit yang telah diterokai harus memahami tanda-tanda berlakunya gerakan tanah. Antara tanda-tandanya adalah keadaan longkang beralih atau pecah, tiang telefon atau pokok condong, ada batu kecil atau tanah jatuh ke bawah dan wujud aliran air lumpur.

Jika terdapat tanda-tanda awal ini, penduduk berhampiran perlulah memberitahu kepada pihak berkuasa seperti JMG atau PBT supaya tindakan pencegahan awal boleh dilakukan.

Jika tidak, runtuhan tanah secara besar-besaran boleh berlaku dalam skala yang luas dan boleh menimbus kawasan penempatan, tanaman, jalan raya dan boleh mengorbankan nyawa dan merosakkan harta benda.

Rakyat yang tidak arif mengenai tanda-tanda pergerakan tanah dan mempunyai sikap tidak ambil kisah akan menyebabkan tragedi tanah runtuh bakal berulang. – UTUSAN

BEKAS PELAJAR GEOGRAFI, Temerloh, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.