Mansuhkan Pendidikan Muzik jika tiada guru opsyen - Utusan Malaysia

Mansuhkan Pendidikan Muzik jika tiada guru opsyen

SUBJEK Pendidikan Muzik perlu diajar oleh guru opsyen muzik, bukannya cikgu tangkap muat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TAHNIAH Fadhlina Sidek yang telah diberikan kepercayaan oleh Perdana Menteri Ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menerajui Kementerian Pendidikan (KPM). Warga pendidik tertunggu-tunggu hala tuju yang akan dibawa oleh Menteri yang baharu dilantik ini.

Sebagai penjaga murid, saya memohon KPM untuk melihat semua keperluan mata pelajaran Pendidikan Muzik di sekolah rendah. Saya melihat, subjek ini sekadar tempelan pada jadual waktu.

Bahkan guru-guru yang ditugaskan mengajar subjek berkenaan tiada asas muzik. Usah tanyalah tentang not muzik, mereka memang buta not muzik. Mereka juga tidak berminat terhadap muzik tetapi terpaksa mengajar kerana ia adalah arahan daripada pentadbir.

Mengikut KPM, kurikulum Pendidikan Muzik sekolah rendah bertujuan untuk membolehkan murid mencapai objektif seperti mengaplikasi pengetahuan muzik menerusi aktiviti nyanyian, gerakan dan permainan alat muzik.

Ini termasuk menghasilkan idea muzik kreatif menerusi aktiviti nyanyian, gerakan serta permainan alat muzik; menghargai pelbagai jenis muzik dengan menyatakan secara lisan daripada aspek muzikal karya muzik yang didengar atau ditonton dan mengamalkan nilai murni menerusi aktiviti muzik.

Untuk pengetahuan pihak KPM serta masyarakat umum, kebanyakan sekolah tidak mempunyai peralatan muzik. Malah, pihak sekolah tiada dana yang mencukupi untuk membeli alat-alat muzik.

Bayangkan apa yang berlaku pada waktu Pendidikan Muzik? Apa aktiviti yang dilakukan ketika subjek tersebut?  Maka, semakin kakulah guru subjek itu di bilik darjah. Akhirnya, waktu Pendidikan Muzik bertukar menjadi kelas mewarna dan melukis.

Sekiranya pihak kementerian tidak mahu memansuhkan mata pelajaran tersebut, maka seharusnya setiap sekolah terutama sekolah di pedalaman dan sekolah yang menempatkan murid Orang Asli mempunyai sekurang-kurangnya seorang guru opsyen bagi subjek berkenaan.

Ini bagi memastikan mata pelajaran tersebut relevan dan dapat dimanfaatkan sepenuhnya. – UTUSAN

PASOLA
Pahang Darul Makmur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya