Jangan gadai prinsip untuk menang - Utusan Malaysia

Jangan gadai prinsip untuk menang

PEJUANG akan terus memperjuangkan nasib orang Melayu dan bumiputera di samping menghormati hak kaum-kaum lain.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) ditubuhkan dengan cogan kata Pejuang Berprinsip. Dalam perlembagaan Pejuang dinyatakan tujuan ditubuhkan, antaranya menjalankan agenda memerangi rasuah, salah guna kuasa dan kleptokrasi di samping mengangkat maruah dan kemuliaan insan.

Apabila Pejuang pertama kalinya menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai sebuah parti berdaftar, keputusannya ialah tidak berjaya memenangi satu pun kerusi.

Maka atas kesedaran ini, dicadangkan untuk bergabung bagi menambah kekuatan. Gerakan Tanah Air (GTA) ditubuhkan bersama tiga parti lagi yang tiada apa-apa masalah rasuah mahupun salah guna kuasa. Disertai juga gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang digelar Gagasan Bangsa.

Namun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), keputusan yang sama diperoleh, tiada satu kerusi pun dimenangi.

Maka, patutkah Pejuang bergabung atau menjadi komponen Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) supaya tidak mendapat keputusan sama di PRN akan datang mahupun PRU16 nanti?

Setiap apa yang kita lakukan mesti ada hadnya, tidaklah sampai membuang pegangan dan prinsip yang menjadi asas kepada perjuangan demi untuk menang tetapi secara tidak berintegriti.

Tiada perjuangan yang tidak menuntut pengorbanan, tiada jalan mudah untuk perjuangan yang memerlukan perubahan pemikiran dan persepsi rakyat ramai.

Rakyat belum memilih Pejuang mahupun GTA kerana masih tidak mengenali agenda perjuangan yang dibawa umpama pepatah, tidak kenal maka tidak cinta. Untuk ini, masa diperlukan.

Pejuang akan terus memperjuangkan nasib orang Melayu dan bumiputera di samping menghormati hak kaum-kaum lain tapi bukan dengan mengambil jalan mudah menjadi komponen dengan mana-mana gabungan. – UTUSAN

AZMAN MOHD. HASHIM, Ahli Majlis Eksekutif Pusat Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya