fbpx

Harap Fadhlina fokus pulih pendidikan negara

HALA tuju pendidikan negara diharap lebih berfokus, terancang dan memenuhi keperluan semasa supaya bertaraf global dan kalis masa depan.

SAUDARA PENGARANG,

Fakta dan data dari badan- badan yang telah membuat kajian berkaitan pendidikan seperti Bank Dunia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menunjukkan pendemik Covid-19 telah memberi kesan besar kepada kadar keciciran pendidikan di dalam negara. Tidak kurang pula Malaysia antara negara yang paling sedikit sesi persekolahan ketika pandemik.

Justeru pihak Ikatan Guru Muslim Malaysia (iGuru) berharap Menteri Pendidikan yang baharu, Fadhlina Sidek dapat menumpukan fokus kepada usaha pemulihan pendidikan dan mengangkat kualiti pendidikan negara.

Antara aspek utama yang perlu diberikan perhatian ialah :

– Memperkasa profesionalisme guru dalam aspek kebajikan dan kesihatan mental bagi mengelak guru bersara awal serta menghadapi isu kesihatan mental.

– Meningkatkan prasarana, kemudahan fizikal serta digital antara sekolah bandar dan luar bandar bagi merapatkan jurang kesenjangan pendidikan.

– Menangani isu sekolah daif di kawasan pendalaman dan sekolah kurang murid bagi mengurangkan kos perbelanjaan. Termasuk juga mengatasi isu sekolah kepadatan murid di bandar.

– Menjadikan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan semua rakyat Malaysia dan wahana memupuk perpaduan kaum. Atas sebab itu aspek infra, kualiti guru dan kurikulum perlu diberikan perhatian.

– Program pemulihan pendidikan bagi menangani isu keciciran murid. Kurikulum yang anjal dan fleksibel di tahap satu serta pemantapan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang lebih interaktif dan efektif. Aspek pentaksiran sekolah rendah dan menengah juga perlu diberikan perhatian bagi menambahbaik keberkesanan pentaksiran murid dengan lebih efisien, juga tidak mengesampingkan bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

– Pendidikan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) yang terjejas akibat pandemik. Termasuk juga pendidikan golongan rentan yang perlu ditangani secara serius dan terancang.

– Mengukuhkan jaringan erat sebagai satu pasukan pendidikan antara kementerian, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), sekolah serta komuniti. Pada masa yang sama Menteri perlu mendengar keluhan kesatuan-kesatuan guru yang mewakili suara guru terbanyak dengan sesi libat urus serta turun padang.

Komitmen dan kesungguhan Menteri serta tekad politik penentu kejayaan dalam memperkasa dan mengangkat kualiti pendidikan negara.

iGuru menggesa Menteri untuk kerap turun ke lapangan, selami denyut nadi warga pendidik serta mengambil langkah aktif dan proaktif agar segala cabaran dunia pendidikan dapat diatasi dan dicari solusi.-UTUSAN

Mohd Azizee Hasan
Presiden iGuru

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN