Ahli Parlimen perlu hayati nasihat Montesquieu

Ahli Parlimen perlu hayati nasihat Montesquieu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Tambun, mengetuai 222 ahli Dewan Rakyat mengangkat sumpah pada hari pertama Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15.

Upacara mengangkat sumpah itu diikuti kedua-dua timbalan perdana menteri iaitu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, barisan Jemaah Menteri, timbalan menteri, ahli Parlimen kerajaan serta ahli Parlimen pembangkang.

Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) telah diadakan pada 19 November lalu bagi memilih ahli Dewan Rakyat. Pada pilihan raya itu, Pakatan Harapan (PH) memperoleh 82 kerusi, Perikatan Nasional (PN) 73, Barisan Nasional (BN) 30, Gabungan Parti Sarawak (GPS) 22, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) enam dan Warisan tiga.

Kerajaan perpaduan dibentuk hasil gabungan parti politik termasuk PH, BN, GRS, GPS dan Warisan.

Di Malaysia, umumnya ahli Parlimen ini dianggap sebagai wakil rakyat yang bertanggungjawab terhadap kawasan yang diwakili dengan menggalas tugas-tugas seperti menjaga kebajikan rakyat, menghadiri jemputan majlis keramaian, kenduri dan jamuan serta merasmikan bangunan baharu.

Namun, sejauh manakah contoh-contoh di atas adalah refleksi ketepatan peranan sebenar ahli Dewan Rakyat? Adakah terdapat peranan yang lebih utama yang dapat mempengaruhi keberkesanan Parlimen sebagai satu badan legislatif?

Selepas selesainya ahli Dewan Rakyat mengangkat sumpah, maka mereka memegang amanah untuk melaksanakan tugas utama iaitu menggubal, mengusulkan dan meluluskan undang-undang baharu.

Selain itu, ahli Parlimen juga mengambil bahagian dengan perbahasan di Dewan Rakyat. Mereka juga berperanan dalam meneliti segala pelaksanaan dasar kerajaan yang dapat menggambarkan fungsi Parlimen sebagai satu badan semak dan imbang serta pengasingan kuasa yang telah diperkenalkan oleh ahli falsafah Perancis, Montesquieu dalam bukunya The Spirit of the Laws (1748).

Kesemua peranan-peranan tersebut memerlukan komitmen yang tinggi daripada ahli Parlimen untuk menghadiri setiap persidangan Dewan Rakyat.

Kehadiran ahli Dewan Rakyat dikaitkan dengan prestasi penglibatan dan pencapaian mereka selepas menggalas jawatan tersebut selama lima tahun.

Ia juga merupakan kewajiban ahli Dewan Rakyat untuk melaksanakan tugas sehabis baik dengan memastikan kehadiran mereka pada kerusi Parlimen yang disandang.

Sepanjang tempoh memegang jawatan ataupun berstatus sebagai ahli Dewan Rakyat, ada di antara mereka yang terlibat sebagai ahli jawatankuasa tetap mahupun jawatankuasa pilihan khas.

Ahli Parlimen mestilah seorang yang adil, menjalankan urusan bebas daripada konflik kepentingan diri, bebas daripada salah guna kuasa dan berintegriti tinggi.

Mereka perlu sentiasa menjalankan tugas sebagai ahli Dewan Rakyat tanpa campur tangan dan intimidasi. Amalan rasuah juga wajib dijauhi. Tidak kira sama ada dengan apa kaedah atau bentuk apa pun iaitu seperti ditawarkan rasuah seperti bayaran atau ganjaran bagi mempengaruhi ahli Dewan Rakyat lain.

Kesimpulannya, penulisan ini memanifestasikan peranan utama ahli Dewan Rakyat di Parlimen. Mungkin ada yang terlupa dek kerana ingin memenuhi permintaan rakyat yang mengundi mereka sehingga tersasar daripada tugas utama.

Pemahaman yang mendalam akan tugas utama sebagai ahli Parlimen mampu menyemarakkan komitmen semua Yang Berhormat sepanjang sidang Dewan Rakyat.-UTUSAN

SITI FAHLIZAH PADLEE
Pegawai Penyelidik Parlimen Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya