Isu rasuah boleh jadi senjata untuk serang kerajaan - Utusan Malaysia

Isu rasuah boleh jadi senjata untuk serang kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA ingin memberi komen tulisan Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Syed Agil Alsagoff dalam akhbar ini bertarikh 28 Oktober lalu bertajuk Tiada isu untuk serang pentadbiran BN.

Beliau menulis telah menjadi trend dunia untuk memilih pemimpin muda bagi mengetuai kerajaan. Namun, katanya, yang berlaku di Malaysia adalah sebaliknya apabila calon Perdana Menteri dari Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin masing-masing berusia 75 tahun.

Katanya, Barisan Nasional (BN) sudah menang dari sudut calon Perdana Menteri yang bersesuaian dengan aspirasi semasa anak muda dan perkembangan dunia kerana calonnya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru berusia 62 tahun.

Saya mengakui sememangnya wujud kecenderungan di negara-negara Barat memilih pemimpin muda menerajui negara seperti United Kingdom, Kanada, Australia dan New Zealand. Ia adalah satu bentuk perubahan dinamik dalam sistem pemerintahan dalam sesebuah negara.

Walaupun negara berkenaan tidak meletakkan Islam sebagai agama rasmi tetapi harus diakui tahap integriti dalam kalangan pemimpin mereka memang cukup tinggi.

Kita kena terima hakikat isu yang boleh diguna untuk menyerang pentadbiran BN adalah mengenai rasuah. Malaysia masih terbelakang jika dibanding beberapa negara Eropah contohnya berada di tangga 62 daripada 180 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 dan kedudukan ini menyaksikan negara kita merosot berbanding 2020 yang berada di tangga 57.

Negara yang menjuarai indeks tersebut seperti Denmark, Finland, Singapura, Sweden, Belanda dan Jerman kerana kecekapan tadbir urus negara dan tahap integriti yang tinggi.

Rakyat

Sekiranya Syed Agil mengikuti perkembangan isu-isu semasa, institusi kesultanan Melayu turut membangkitkan isu rasuah yang boleh menjadi barah yang menyumbang kepada kerosakan tamadun bangsa. Saya yakin penjawat awam dan media arus perdana juga berperanan besar dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat tentang bahaya rasuah.

Selain isu 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), kerajaan juga perlu menyelesaikan isu kenaikan harga barang yang menyebabkan golongan berpendapatan rendah (B40) semakin terhimpit.

Memang tidak dinafikan isu harga barang bukan sahaja melanda Malaysia, tetapi berlaku di serata dunia ekoran impak peperangan Russia-Ukraine, namun pengundi sekarang lebih selektif dan celik politik dalam memilih pemimpin yang bijak menyelesaikan masalah berbangkit.

Saya tidak menafikan kemajuan di bawah pentadbiran kerajaan sekarang namun banyak lagi isu perlu diselesaikan oleh pemerintah. Sesiapa sahaja yang mengemudi negara ini selepas pilihan raya umum (PRU), perlu bekerja keras menyelesaikan permasalahan rakyat.

Dalam konteks lain, pada hemat saya, Malaysia sekarang sedang merindui pemimpin hebat seperti Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tiada galang ganti.

Mereka berjuang demi rakyat bukan untuk segelintir puak atau golongan sahaja. Saya yakin golongan muda dan pengundi atas pagar akan menentukan hala tuju pentadbiran Malaysia selepas 19 November ini.

Pemerintahan di era keagungan kerajaan Islam pimpinan Nabi Muhammad SAW sepatutnya menjadi ikutan dan teladan. Sudah tentu saya berharap calon-calon PRU kali ini sekiranya membaca tulisan ini dapat memasang niat untuk mengikut jejak baginda yang cukup sempurna memerintah kerajaannya. – UTUSAN

PENGUNDI DALAM PAGAR
Putrajaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya