Di mana nak tinggal kalau rumah dilelong?

Di mana nak tinggal kalau rumah dilelong?

PENULIS gagal membayar ansuran kepada Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) selepas menamatkan perkhidmatan kerana tidak mempunyai kerja tetap.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA merupakan seorang bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang telah berkhidmat selama 18 tahun sebelum menamatkan perkhidmatan pada 2012.

Sememangnya saya akui kehidupan sebagai orang awam selepas tamat perkhidmatan amatlah sukar dan mencabar, lebih-lebih lagi untuk mendapatkan pekerjaan.

Saya membeli sebuah rumah di Port Dickson, Negeri Sembilan tetapi gagal membayar ansuran pembiayaan kepada Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) selepas menamatkan perkhidmatan kerana tidak mempunyai kerja tetap selain sukar mencari pekerjaan (dengan kemahiran yang ada) sehingga 2017.

Ketika itu, permohonan kepada LPPSA untuk mengurangkan kadar pembayaran diluluskan oleh LPPSA mengikut kemampuan. Namun, malangnya saya kehilangan pekerjaan yang menyebabkan tidak mampu membayar pembiayaan tersebut. Rumah saya juga ditampal notis lelong.

Saya buntu dengan keadaan tersebut dan menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong; Perdana Menteri (ketika itu), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Kanan Pertahanan (Keselamatan) (ketika itu), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Saya hanya menerima maklum balas daripada Kementerian Kewangan melalui LPPSA. Saya diminta membayar ansuran bulanan sebanyak RM1,000 selama 11 bulan dan perlu melangsaikan baki hutang sebanyak RM70,000 pada bulan ke-12.

Saya akur selepas mendapat tawaran itu dengan membuat bayaran seperti dikehendaki pada 2021. Namun, selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada Oktober tahun lalu menyebabkan saya tidak lagi mampu membayar ekoran keupayaan diri menjadi terbatas akibat kedua-dua bahu cedera dan sehingga kini masih dalam rawatan doktor pakar.

Malah selepas kemalangan itu, saya kerap mengambil cuti sakit disebabkan kecederaan bahu yang sering membengkak. Ditambah keadaan lutut yang masih lagi sakit selepas pembedahan akibat cedera ketika dalam perkhidmatan menyebabkan jumlah pendapatan diterima menjadi tidak menentu.

Saya sekali lagi menulis surat kepada Ismail Sabri selepas diangkat sebagai Perdana Menteri; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta  Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), namun tiada jawapan.

Sebagai ketua keluarga, saya berusaha sebaik mungkin untuk isteri dan anak-anak. Saya sedar JHEV menyediakan bantuan perumahan, namun saya tidak memiliki tanah untuk layak menerima bantuan perumahan tersebut.

Di manakah kami sekeluarga hendak berteduh sekiranya rumah dilelong dan diarah keluar?-UTUSAN

MOHD.
Port Dickson, Negeri Sembilan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.