SAUDARA PENGARANG,
KAMI merujuk artikel di ruangan ini pada 26 Oktober lalu bertajuk Susahnya Nak Dapat Wang GCR 2022. Dalam artikel tersebut, penulis memaklumkan ada membuat permohonan penebusan awal Award Wang Tunai Gantian Cuti Rehat (GCR) melalui Bahagian Pengurusan sebuah kementerian di Putrajaya pada 15 Januari lalu dan menunggu dengan sabar selama tiga bulan untuk kementerian berkenaan menyemak, meneliti dan mengesahkan bilangan cuti GCR yang terkumpul sejak 32 tahun lalu dalam bukubuku perkhidmatan dan portal HRMIS.
Maklumat yang lengkap diangkat kepada Bahagian Pasca Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 31 Mac 2022.
Ia diluluskan pula pada 17 Julai lalu yang kemudiannya melalui proses ketiga untuk diangkat kelulusan kepada Kementerian Kewangan.
Bagi penulis, proses tersebut begitu sukar dan sengsara untuk mendapatkan sedikit wang award GCR.
Dalam masa sama, penulis juga berharap pihak berkenaan segera meluluskan permohonan kerana sudah mempunyai perancangan terhadap penggunaan wang yang bakal diperoleh.
Segala permohonan akan disemak berdasarkan syarat-syarat ditetapkan dan dibayar mengikut peruntukan belanjawan. Pegawai yang ingin memohon pemberian awal award wang tunai GCR perlu mengemukakan permohonan melalui kementerian atau jabatan untuk kelulusan JPA. Senarai nama pemohon yang berjaya kemudiannya akan dikemukakan kepada kementerian atau jabatan pemohon serta
Kementerian Kewangan.
JPA telah mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Ceraian PP.1.3.4 – Pemberian Awal Award Wang Tunai Gantian Cuti Rehat (GCR) menjelaskan proses kerja permohonan pemberian awal award wang tunai GCR melibatkan tiga pihak iaitu kementerian atau jabatan pegawai yang memohon, JPA dan Kementerian Kewangan.-UTUSAN
JABATAN PERKHIDMATAN AWAM