Wujud industri ganti import tidak mudah - Utusan Malaysia

Wujud industri ganti import tidak mudah

SEKTOR pertanian, perhutanan & perikanan meningkat 0.8 peratus, disebabkan peningkatan dalam indeks penanaman tanaman kekal. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

GABUNGAN parti mana pun yang dapat membentuk kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sudah pasti akan berhadapan masalah sama, iaitu negara banyak mengimport barangan makanan yang diproses dan makanan haiwan.

Sejak dari dahulu lagi, pakar-pakar ekonomi telah mencadangkan supaya kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan bidang pertanian dan industri berkaitan dengannya kerana ia boleh mengurangkan import bahan makanan.

Kini sumbangan sektor pertanian kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah kecil berbanding sektor-sektor lain seperti pembuatan dan perkhidmatan.

Bagaimanapun, dilema yang dihadapi kerajaan dalam mewujudkan industri-industri penggantian import ini adalah ia perlu diberi perlindungan daripada persaingan bebas.

Kos perlindungan oleh kerajaan ini yang sebenarnya perlu dibayar oleh pengguna tempatan adalah tinggi.

Perlindungan dalam bentuk cukai import yang tinggi juga perlu diberikan oleh kerajaan untuk mengehadkan jumlah penawaran barangan import dalam pasaran tempatan kerana industri-industri ini tidak mampu bersaing dengan barangan dari luar negara.

Ini menyebabkan harga barangan import lebih tinggi. Jika kos perlindungan ini dapat diminimumkan dan diuruskan dengan baik, industri-industri penggantian import boleh dijadikan asas untuk sektor pertanian memasuki era perindustrian.

Ada pendapat mengatakan Eropah dan negara-negara Asia digelar Harimau Asia berjaya dalam proses perindustriannya dengan polisi perlindungan yang dilaksanakan kepada industri-industri mereka untuk membina kemahiran sebelum persaingan dibuka kepada barangan import.

Pada kebiasaannya, untuk menggalakkan industri penggantian import ini, peningkatan import barangan modal dari luar negara seperti mesin dan jentera serta barangan input perantaraan (barangan yang digunakan bagi menghasilkan barangan lain) akan meningkat. Ini menyebabkan penggunaan bahan-bahan tempatan seperti buruh tidak dapat mencapai tahap optimum.

Teori

Oleh itu, industri-industri pengganti import itu perlu dipilih untuk memaksimumkan kesan ekonomi hiliran yang disumbangkan kepada industri-industri tempatan sedia ada.

Dalam pada itu, teori perdagangan antarabangsa menunjukkan kemakmuran boleh dicapai apabila polisi perlindungan diberhentikan dan perdagangan bebas digalakkan di antara negara-negara terlibat.

Polisi yang memberi perlindungan kepada barangan keluaran tempatan boleh juga menyebabkan inflasi dan defisit belanjawan seperti yang terjadi kepada Sri Lanka pada 1960-an dan 1970-an.

Bagaimanapun, mewujudkan industri-industri penggantian import ini boleh memberi beberapa kebaikan kepada Malaysia.

Pertama, selain meningkatkan sumbangan sektor pertanian kepada KDNK, ia boleh mengurangkan pengaliran ringgit ke luar negara dalam bentuk pengurangan bil import. Sekali gus, ia boleh meningkatkan rizab antarabangsa negara.

Kedua, industri penggantian import ini boleh menggalakkan penggunaan sumber-sumber tempatan dan mengurangkan pengangguran.

Dengan perkataan lain, ia boleh menyumbang kepada penggunaan sumber-sumber tempatan secara lebih optimum. Dengan ini, tingkat tabungan, pelaburan dan pendapatan dalam negara boleh dipertingkatkan.

Ketiga, dapat menyumbang kepada pencapaian matlamat sara diri yang tinggi dan dijadikan asas untuk perindustrian.

Keempat, dapat meningkatkan pencapaian matlamat keselamatan makanan dan sosial serta kestabilan sosial dalam ekonomi Malaysia.

Kelima, dapat membantu proses perbandaran dalam negara dan mengurangkan kos pengangkutan dari luar negara bagi barangan gantian import. – UTUSAN

NASARUDDIN ARSHAD, Bekas pensyarah ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.