Kerajaan perpaduan sukar dielakkan - Utusan Malaysia

Kerajaan perpaduan sukar dielakkan

Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan beliau mahu jumpa Anwar Ibrahim tawar kerjasama pada PRU15.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BAGI saya, hampir mustahil ketika ini blok yang menentang Barisan Nasional (BN) terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Gerakan Tanah Air (GTA) dapat bergabung kerana masalah defisit kepercayaan antara satu sama lain masih membengkak.

Kelemahan blok-blok pembangkang yang terpecah tiga ini bukan masalah ‘sains roket’ yang sukar difahami, tetapi permasalahan agak asas dan semua mengetahui masalah itu iaitu tiada kepercayaan antara satu dengan yang lain.

Bercakap tentang ‘kejahatan’ pemimpin BN tidak boleh menjamin blok pembangkang akan menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), mungkin ia hanya ‘hiburan’ untuk pemimpin jadi popular, tetapi parti tetap akan kalah.

Begitu juga bila kita bercakap tentang kelemahan dan perbezaan antara parti dalam blok pembangkang, juga tidak akan membawa kemenangan kepada kita kerana pengundi sudah menyampah mendengarnya.

Yang akan membawa kemenangan kita semua adalah apabila timbul ombak keinginan rakyat untuk keluar mengundi beramai-ramai. Peratusan keluar mengundi mesti maksimum melebihi 80 peratus.

Peratusan keluar mengundi yang tinggi ini akan menjadi koronavirus buat BN. Jika virus ini berjaya ditularkan, maka BN yang ditunjangi UMNO akan tersungkur sekali lagi dan kali ini mungkin mereka akan habis punah.

Jadi, bagaimana langkah terbaik blok pembangkang untuk menimbulkan ombak keinginan rakyat untuk keluar mengundi? Jalan yang ada hanyalah dengan berkempen meyakinkan pengundi bagaimana kerajaan baharu yang dapat dibentuk selepas PRU15 boleh menyelesaikan masalah rakyat dan negara.

Kerjasama

Dengan langkah ini, rakyat akan nampak cahaya di hujung terowong. Dan cahaya itu boleh menimbulkan keinginan rakyat untuk menunaikan tanggungjawab keluar beramai-ramai mengundi. Undilah siapa pun asal bukan BN.

Jika BN tidak cukup kerusi selepas PRU15 ini, blok-blok pembangkang yang menang boleh menubuhkan sebuah pemerintahan stabil berkonsepkan kerajaan perpaduan.

Kemungkinan wujudnya kerajaan perpaduan selepas pilihan raya hampir pasti berlaku, suka atau tidak kerana landskap politik tanah air telah berubah selepas PRU14.

Apabila tumbangnya BN pada PRU14, ia menunjukkan tiada lagi mana-mana blok politik yang memiliki sokongan mutlak seperti sebelum ini.

Kekuatan PH takkan cukup, PN tidak cukup apatah lagi GTA. Model parti yang dominan ala UMNO dalam BN tidak boleh wujud lagi dalam mana-mana gabungan yang lain ketika dan selepas ini. Keadaan ini memaksa semua blok pembangkang untuk bersikap terbuka dan bekerjasama.

Justeru, kerajaan perpaduan amat sukar untuk dielakkan malah kita harus bersedia ke arah itu demi menzahirkan hasrat rakyat yang mahukan sebuah kerajaan yang bersih dan stabil.

Realiti sekarang, jika kita sukar hendak membentuk gabungan sebelum pilihan raya, hakikatnya hampir pasti semua blok pembangkang perlu bekerjasama selepas PRU15 untuk membentuk sebuah kerajaan perpaduan yang bersih dan stabil.

Berbincang untuk berkongsi kuasa setelah menang adalah lebih efektif daripada berbincang dalam keadaan semua tiada kuasa. – UTUSAN

MAHDZIR IBRAHIM
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.