SAUDARA PENGARANG,
INDEKS kemakmuran negara sebenarnya berasaskan kepada indeks kebahagiaan keluarga.
Prinsip keluarga bahagia negara makmur adalah prinsip Islam yang menjadi sunnah Nabi Muhammad SAW. Fasa pembentukan keluarga beriman dengan membuang kesyirikan dan kefasadatan selama 13 tahun telah berlaku di Mekah dengan kejayaan melalui pelbagai ujian dalam ekosistem jahiliah korup.
Baginda memfokuskan kepada aspek membina jati diri umat Islam yang berintegriti, survival terhadap tekanan hidup dan kemahiran diplomasi tahap tinggi terhadap umat Islam di fasa pembinaan keluarga Muslim di Mekah.
Semasa hidup baginda, pemantapan pendidikan kepimpinan berintegriti yang bermula di rumah terus diperkasakan di luar rumah melalui pendidikan komprehensif melalui institusi masjid.
Masjid al-Haram di Mekah dan Madinah menjadi pusat ibadah, ilmu dan pentadbiran negara khususnya di zaman Nabi Muhammad dan Khulafa’ al-Rasyidin berasaskan ekosistem kekeluargaan ummah.
Justeru, kebahagiaan jemaah Muslim yang mengimarahkan masjid dalam ekosistem keluarga melalui solat berjemaah, majlis ilmu dan mencapai kesepakatan keputusan bersama melalui musyawarah merupakan asas praktikal pemimpin dan rakyat bagi memperoleh kemakmuran negara Islam kurniaan Allah SWT.
Apabila pemimpin negara sentiasa mendirikan solat fardu berjemaah bersama rakyat dan beriltizam dalam majlis ilmu dalam ekosistem institusi masjid, maka pasti wujud sifat kehambaan terhadap Allah SWT dan sifat kemanusiaan dalam kalangan pemimpin dan negara. Inilah jaminan Allah SWT bagi memperkasakan negara dengan indeks kemakmuran yang holistik.
Indeks kemakmuran negara yang berasaskan kepada kemakmuran ekonomi, sosial dan politik yang jauh daripada asas agama wahyu pasti berakhir dengan kepincangan dan keruntuhan. Hanya menunggu masa bagi pengakhiran yang tragis ini.
Pemimpin hendaklah menjadikan prinsip sunnah Rasulullah SAW dalam mentadbir berasaskan kekeluargaan Islam yang terbukti sebagai asas utama dalam memakmurkan negara ini.
Justeru, indeks kemakmuran negara mestilah berasaskan kepada asas manusiawi yang akan menguruskan keperluan duniawi menuju ukhrawi melalui pendidikan kekeluargaan Islam bertunjangkan kepada ketaatan kepada Allah SWT dengan mentaati sunnah Rasulullah SAW.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. ISHAK SULIAMAN
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya