Albert Tei nafi ada hubungan istimewa, politik dengan Dr. Mahathir

Albert Tei nafi ada hubungan istimewa, politik dengan Dr. Mahathir

Albert Tei
ALBERT Tei ditemui pemberita dalam sidang akhbar selepas menghadiri prosiding pertuduhan rasuahnya di Mahkamah Sesyen, dekat pekarangan Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ahli perniagaan Jiann Cheing menafikan beliau mempunyai hubungan istimewa mahupun politik dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad seperti gambar yang tular dalam media sosial.

Katanya, situasi dalam gambar tersebut merupakan kali pertama dan hanya satu pertemuan antaranya dengan Dr. Mahathir bagi mendapatkan nasihat berkaitan kes rasuah yang dihadapinya ketika ini.

“Sekarang saya mendedahkan pemimpin tertinggi negara. Jadi, mohon jelaskan (bersihkan) nama beliau dan saya. Itu sahaja kali pertama.

“Saya mengadu berkaitan dengan kes ini, sebab di Malaysia, selain beliau saya tidak tahu lagi boleh berjumpa dengan siapa. Beliau menasihatkan harus ambil tindakan,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Albert Tei menambah, pertemuan beliau dengan Dr. Mahathir berlaku atas saranan seorang kawan selepas mendakwa buntu serta tidak tahu untuk bertemu dengan siapa bagi mendedahkan skandal rasuah yang dikatakan mempunyai kaitan dengan pemimpin negara.

Baru-baru ini tular gambar memaparkan pertemuan antara ahli perniagaan tersebut dengan Dr. Mahathir yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes rasuah antara beliau dengan bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pertemuan tersebut didakwa berlaku sehari sebelum tular sebuah rakaman video dengan seorang wanita yang juga dipercayai mempunyai kaitan dengan dakwaan rasuah dihadapi Albert Tei dan Shamsul Iskandar.

Jelas Albert Tei, beliau akui terkejut dengan spekulasi yang timbul berpunca daripada gambar beliau bersama Dr. Mahathir dan berseloroh mahu mempunyai hubungan baik dengan bekas Perdana Menteri pada 1982 – 2003 dan 2018-2020 itu.

“Saya orang kecil sahaja. Tetapi saya lihat dalam media sosial kata saya ada hubungan istimewa dengan Tun M (Dr. Mahathir).

“Saya pun berharap (ada hubungan baik), sebab kononnya beliau ada banyak wang. Sampai ada yang kata saya sebagai anak angkat beliau. Saya pun berharap dan bermimpi mahu jadi anak angkat Tun. Tetapi saya tahu, saya tak layak,”

Terdahulu, beliau mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyogok wang berjumlah RM64,924 kepada Shamsul Iskandar pada 28 November 2023 dan 23 September tahun lalu.

Sebelum itu, di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur, semalam beliau juga mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan secara rasuah menyerahkan lebih RM177,000 kepada Shamsul Iskandar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN