Jika majikan cuai, kita boleh dihambat LHDN bila bersara - Utusan Malaysia

Jika majikan cuai, kita boleh dihambat LHDN bila bersara

Kerajaan BN kelak akan memberikan dua peratus potongan cukai pendapatan bagi mereka mempunyai pendapatan dalam kelompok M40. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

RAMAI pekerja tidak tahu kepentingan Surat Penyelesaian Cukai (SPC) sekiranya mereka berhenti kerja atau bersara kelak.

Sebagai pekerja yang bertanggungjawab, kita seharusnya tahu tindakan perlu diambil supaya amaun ganjaran dan manfaat yang akan dinikmati selepas bersara atau berhenti kerja diperoleh dengan segera.

Ia juga bertujuan memastikan amaun tersebut tidak dipotong untuk menjelaskan apa-apa cukai tertunggak akibat kegagalan melaporkan pendapatan terdahulu sebelum berhenti kerja.

Mungkin ramai tertanya-tanya, apa yang perlu dilakukan khususnya berkaitan percukaian sekiranya ingin menamatkan perkhidmatan bersama majikan sekarang.

SPC merupakan perakuan yang dikeluarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kepada majikan berkaitan hal ehwal cukai pendapatan pekerja yang akan berhenti kerja, bersara, hendak meninggalkan Malaysia atau meninggal dunia.

Adalah menjadi tanggungjawab majikan tidak kira sama ada di sektor awam mahupun swasta di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) bagi memaklumkan kepada LHDN dalam tempoh yang ditetapkan sekiranya berlaku penamatan perkhidmatan.

Sebagai majikan yang bertanggungjawab, mereka perlu memaklumkan kepada LHDN dengan cara mengisi borang disediakan tidak kurang 30 hari sebelum tarikh pemberhentian pekerja yang akan berhenti kerja, bersara atau yang akan meninggalkan Malaysia melebihi tiga bulan.

Bagi memberi kemudahan kepada majikan, LHDN menyediakan perkhidmatan dalam talian bagi membolehkan majikan mengemukakan borang yang boleh diakses di https://mytax.LHDN.gov.my/.

Selain itu, majikan perlu menahan apa-apa bahagian wang yang akan atau boleh dibayar kepada pekerja dan tidak membayar apa-apa bahagian wang tersebut tanpa kebenaran LHDN sehingga tempoh 90 hari dari tarikh borang diterima oleh LHDN.

Teratur

Majikan juga perlu membayar semua atau sebahagian amaun wang yang ditahan kepada LHDN apabila diarahkan pada bila-bila masa dalam tempoh tersebut. Sebenarnya tujuan SPC adalah untuk memastikan rekod percukaian pekerja berada dalam keadaan teratur.

Apabila permohonan SPC diterima, cawangan yang menguruskan fail akan menyemak rekod percukaian pekerja bagi tahun-tahun sebelumnya sama ada audit perlu dilakukan atau tidak. Sekiranya perlu, cawangan akan meminta dokumen tersebut daripada pihak pekerja.

Secara tidak langsung akan memastikan rekod percukaian pekerja berada dalam keadaan teratur. Sekiranya terdapat amaun cukai yang perlu diselesaikan LHDN daripada semakan, amaun tersebut perlu dibayar oleh majikan kepada LHDN daripada amaun wang yang ditahan.

Jika gagal menjalankan tanggungjawab, majikan boleh disabitkan kesalahan mengikut undang-undang yang telah ditetapkan.

Kelewatan atau kegagalan mengemukakan borang tersebut tanpa alasan yang munasabah merupakan suatu kesalahan dan sekiranya disabitkan, boleh dikenakan denda tidak kurang RM200 atau tidak lebih daripada RM20,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya di bawah subsekyen 120(1) ACP 1967.

Majikan juga bertanggungjawab untuk membayar amaun penuh cukai yang kena dibayar oleh pekerjanya. Amaun kena dibayar oleh majikan merupakan suatu hutang kepada kerajaan dan boleh dituntut melalui tindakan sivil.

Di pihak pekerja, pastikan majikan menjalankan tanggungjawab dengan memastikan mereka menerima salinan SPC individu yang telah selesai diproses LHDN yang akan dihantar kepada majikan.

Semoga kelestarian hasil cukai akan dimanfaatkan bersama demi membina #KeluargaMalaysia yang lebih makmur dan sejahtera. – UTUSAN

BAHAGIAN KOMUNIKASI PEJABAT CEO
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya