SAUDARA PENGARANG,
KEJADIAN kepala air dan banjir yang berlaku di Gunung Jerai dan Gunung Inas di Kedah serta Kampung Janda Baik, Bentong, Pahang dan lain-lain bukan sahaja menyebabkan kehilangan nyawa, kemusnahan tanaman dalam sekelip mata tetapi turut melibatkan kemusnahan harta benda melibatkan kos baik pulih yang amat besar.
Kini, banjir tidak hanya berlaku di kawasan sungai, laut atau tanah rendah tetapi juga di tepi anak sungai di lereng bukit atau gunung dan di tepian anak sungai berhampiran tanah tinggi seperti bukit, banjaran tinggi dan seumpamanya.
Sepatutnya kerajaan Pusat dan kerajaan negeri mengambil iktibar dan pengajaran daripada kejadian sebelum ini. Kerajaan Pusat dan negeri perlu ada dasar yang jelas dan tegas mengenai apa jua pembangunan sama ada pertanian dan sebagainya yang melibatkan kawasan bukit, tanah tinggi, gunung, banjaran dan anak sungai.
Dasar Pembangunan Tanah Negara atau Majlis Tanah Negara (MTN) dan pihak-pihak yang sepatutnya perlu membuat garis panduan supaya pembangunan pertanian atau pembinaan bangunan dan perbandaran dihentikan untuk tempoh 35 tahun sebagai monotarium memandangkan banyak pembangunan terutama yang berskala besar dilakukan sewenang-wenang sama ada atas tanah kerajaan atau persendirian.
Projek pembinaan yang tidak memberi manfaat kepada rakyat dan tiada keperluan segera seperti projek tanaman bukan makanan asasi melibatkan kawasan anak sungai dan lurah perlu segera dihentikan.
Kerajaan juga perlu memainkan peranan memastikan rizab sungai yang terlalu curam dilebarkan. Ini kerana semakin banyak pembukaan kebun, ladang, pembalakan dan pembangunan berskala besar di kawasan tersebut menyebabkan banjir atau kepala air.
Bagi saya, pembangunan pertanian, perbandaran serta pusat peranginan tanah tinggi seperti Genting Highlands, Cameron Highlands, Bukit Fraser, Bukit Tinggi Bentong, Gunung Jerai, Bukit Larut, Gunung Raya Langkawi, Kundasang dan beberapa lagi sudah cukup serta tidak lagi perlu ditambah pembangunan baharu. Langkah ini bagi menjamin kelestarian alam sekitar dan ekosistem.
Kejadian kondominium Highland Towers di Jalan Ulu Kelang, Selangor ‘tumbang’ pada 1993 yang mengorbankan 48 nyawa perlu dijadikan pengajaran dan ingatan.
Walaupun tragedi itu bukan disebabkan banjir tetapi pembinaannya di tanah tinggi dan lereng bukit yang sensitif terhadap aliran air.-UTUSAN
TEROPONG DO RE MI
Setapak, Kuala Lumpur