PORT DICKSON: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini memberi tumpuan kepada member latihan intensif kepada anggota Angkatan Tentera Lubnan (LAF) sebelum pengunduran penuh pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) di negara itu.
Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaafar berkata, latihan intensif bagi membolehkan LAF bersedia sepenuhnya untuk mengambil alih penugasan yang selama ini digalas oleh pasukan Malbatt menerusi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil).
“Sebahagian peralatan juga akan kita tinggalkan sebagai bantuan kepada kerajaan Lubnan. Ini termasuk latihan bagi memastikan mereka memahami interaksi operasi antara dua pasukan serta mampu mengendalikan aset yang diserah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perbarisan Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) dan Pembubaran Batalion Malaysia (Malbatt) 850-12 di Padang Kawad, Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini semalam.
Sebelum ini media melaporkan pasukan Malbatt dijangka berundur dari Lubnan menjelang tahun 2027.
Langkah itu susulan keputusan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung mandat Unifil. Pasukan terakhir Malbatt ke Lubnan akan tamat pada 2026.
Mohd. Nizam berkata, kem Malaysia di Tibnin dan Harris dijadual dikosongkan pada bulan Jun tahun depan sebelum semua anggota digabungkan di Marakah untuk proses serah tugas kepada LAF.
“ATM sedang menilai aset yang sesuai ditinggalkan, memandangkan beberapa briged baharu telah ditubuhkan di kawasan berkenaan,” katanya.
Tambahnya, pengunduran Malaysia dari Lubnan dijangka selesai Disember tahun depan namun sebahagian kecil anggota mungkin kekal sementara bagi menguruskan baki aset sebelum pulang.
Dalam pada itu, beliau berkata, ATM masih belum menerima sebarang arahan rasmi mengenai penugasan kemanusiaan di Gaza. – UTUSAN










