SAUDARA PENGARANG,
DARKSIDE juga dikenali sebagai DS dalam kalangan remaja dan muda-mudi adalah satu gejala sosial yang perlu dibendung dan sedang berleluasa di negara ini.
Bagi memenuhi perasaan yang bergelora dan membuak-buak dengan keinginan fisiologi, ramai dalam kalangan remaja termasuk penuntut di universiti dan orang dewasa terjebak dan menjadi sebahagian daripada kumpulan yang lebih dikenali sebagai ‘komuniti DS’ di platfom Twitter.
Akaun DS dibanjiri dengan teks berbaur lucah, gambar-gambar mengghairahkan, dijadikan tempat melampiaskan nafsu dan wujud kejadian berakhir di ranjang dan kemungkinan berlaku curang terhadap pasangan sekiranya sudah berkahwin.
Penyalahgunaan media sosial dan pengaruh rakan sebaya merupakan antara faktor yang menjerumuskan anak-anak muda ini dalam kancah gejala sosial. Selain itu, dunia tanpa sempadan, maklumat di hujung jari membolehkan semua maklumat diterima tanpa ditapis.
Komuniti DS di Twitter merupakan satu eksploitasi seksual yang benar-benar wujud. Lebih menakutkan, sekiranya ia menjadi satu tempat pornogra kanak-kanak dan menggalakkan dua individu atau lebih yang terlibat dalam aktiviti seks bebas heteroskesual dan homoseksual.
Ini boleh mengakibatkan peningkatan penyakit kelamin dan penularan HIV dalam kalangan muda-mudi di negara ini, selain peningkatan kes pembuangan bayi.
Selain pendidikan dan kasih sayang, golongan remaja memerlukan tumpuan yang berterusan daripada ahli keluarga khususnya ibu bapa. Sistem sokongan keluarga perlu dipertingkatkan melalui aktiviti yang mereka laksanakan serta kenalilah siapa rakan anak-anak kita. Sikap ambil tahu perlu diwujudkan semula.
Kaunseling merupakan salah satu medium membantu individu celik akal dan mendidik remaja serta orang ramai tentang sesuatu perkara, kesan dan implikasi terhadap mereka. Ramai yang beranggapan bahawa kaunseling hanyalah untuk membantu mereka yang mempunyai isu atau masalah sahaja.
Tanggapan itu tidak tepat sama sekali kerana kaunseling adalah satu medium untuk membimbing, mendidik tentang bahaya akaun DS serta kesan terhadap diri dan keluarga melalui kaedah psikopendidikan.
Sekiranya dilaksanakan dalam kumpulan, kaunselor dapat mendidik ilmu yang berkaitan dan boleh digunakan dalam program pencegahan.
Tindakan pihak berkuasa juga diperlukan untuk membantu usaha ini dan membanteras jenayah seksual yang semakin berleluasa.-UTUSAN
DR. AZMAWATY MOHAMAD NOR
Kaunselor Berdaftar & Pensyarah Kanan
Universiti Malaya