Bajet 2023: Apa disediakan untuk belia?

Bajet 2023: Apa disediakan untuk belia?

KERAJAAN perlu melihat keperluan belia dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SECARA rumusan, teras utama Bajet 2022 lalu menyentuh aspek terpenting belia seperti pewujudan pekerjaan, peningkatan kemahiran, latihan dan program pembiayaan usahawan. Namun begitu, adakah peruntukan yang diberikan kepada belia telah mencapai matlamatnya? Apa yang kita boleh cadangkan untuk diperuntukkan kepada belia dalam Bajet 2023?

Pertama, boleh dikatakan masalah terbesar belia adalah kekurangan peluang pekerjaan. Kita jangan lihat pada kadar pengangguran sahaja, tetapi lihat masalah over-education. Sebagai contoh, graduan kejuruteraan tetapi bekerja dalam ekonomi gig yang tidak memerlukan kelayakan pendidikan dimilikinya. Pelaburan masa, tenaga, dan kewangan graduan tersebut selama tiga hingga empat tahun di universiti tidak dapat dimanfaatkan.

Contoh ini merupakan masalah mismatch (tidak sepadan) yang semakin berleluasa. Perkara ini patut menjadi agenda utama kerajaan untuk mengenal pasti penyebab masalah ini. Apakah usaha paling berkesan bagi memastikan graduan berkemahiran tinggi dapat digunakan untuk pembangunan negara?

Isu gaji minimum masih perlu diberi perhatian. Adakah belia kita malas sedangkan ramai yang sanggup bekerja di sektor 3D di negara luar seperti mengutip sampah di Singapura, memetik buah di Australia, mahupun mencuci tandas di United Kingdom?

Mereka berhijrah kerana kadar gaji di Malaysia rendah. Jika kita mampu berikan gaji bermaruah kepada belia tempatan, saya pasti ramai yang sanggup bekerja di sektor pertanian, pembinaan dan perkhidmatan mencuci.

Jadi, insentif khusus kepada perniagaan kecil dan sederhana serta berfokuskan pengambilan pekerja tempatan haruslah diberi penekanan dalam Bajet 2023. Kita tidak mahu lambakan pekerja asing berlaku atas alasan sukar untuk mencari warga tempatan bagi mengisi kekosongan pekerjaan.

Perlu juga libatkan pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam pendidikan. Jika kita ingin meningkatkan kemasukan pelabur asing ke dalam negara, mereka melihat kepada kemahiran dan kecekapan teknikal tenaga kerja tempatan. Untuk mencapai matlamat ini banyak lagi yang harus dilakukan. Antaranya, mengubah persepsi masyarakat bahawa TVET hanya untuk pelajar kelas ‘belakang.’
Oleh itu, diharapkan dalam Bajet 2023 kerajaan memperkasakan dan mempromosikan TVET sebagai pilihan pengajian yang diterima umum.-UTUSAN

DR. DIANA ABDUL WAHAB
Fakulti Perniagaan & Ekonomi
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya