Tangani krisis iklim sebelum terlambat

Tangani krisis iklim sebelum terlambat

BANJIR teruk yang melanda Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor pada penghujung 2021 adalah berpunca dari krisis iklim. – UTUSAN//FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KRISIS iklim adalah ancaman terbesar kepada kehidupan dan tamadun manusia. Isu ini sering dianggap sebagai perkara yang terlalu besar untuk ditangani rakyat biasa atau isu yang tidak akan mengancam penduduk Malaysia kerana negara kita aman dan damai.

Hakikatnya kita sedang mengalami impak krisis iklim dan ia semakin serius. Banjir besar, corak cuaca yang ekstrem, isu sekuriti makanan, kenaikan harga makanan dan barangan harian serta pandemik Covid-19, semua ini ada kaitan dengan krisis iklim.

Ia adalah impak daripada aktiviti membalak hutan, mencemarkan alam sekitar dan memusnahkan biodiversiti.

Krisis iklim berlaku akibat pengeluaran sistem ekonomi kapitalis yang tidak mampan demi mengaut keuntungan. Manusia telah mengekstrak sumber alam untuk menghasilkan komoditi secara besar-besaran.

Demi kesejahteraan rakyat, krisis iklim perlu ditangani segera dan dijadikan agenda penting dalam polisi negara. Beberapa pembaharuan perlu dilakukan bagi menjamin kesejahteraan masyarakat.

Pertama, guna 100 peratus tenaga boleh diperbaharui sebelum 2035. Sektor penjanaan tenaga elektrik merupakan pengeluar gas rumah hijau tertinggi di Malaysia.

Sebanyak 66 peratus daripada permintaan elektrik dipenuhi dengan pembakaran arang batu, manakala 24 peratus dihasilkan dengan pembakaran gas asli.

Kerajaan perlu meningkatkan kecekapan tenaga dengan drastik dalam sektor industri dan komersial dan melaksanakan moratorium (pemberhentian sementara) terhadap janakuasa bahan api fosil.

Perlu ditingkatkan penjanaan daripada tenaga hijau atau Tenaga Boleh Baharu (TBB) termasuk menggunakan biometana daripada sisa organik, efluen minyak kilang kelapa sawit, tapak pelupusan sampah dan sisa pertanian.

Kecekapan tenaga juga boleh ditingkatkan dengan membina sistem grid tenaga pintar sebelum 2025 dan memperkukuh sistem Grid Tenaga ASEAN (APG).

Kedua, pencemaran daripada industri petroleum perlu diatasi. Industri petroleum negara mengeluarkan 8.3 peratus daripada gas rumah hijau (GHG) di Malaysia melalui aktiviti penerokaan, perlombongan, penghasilan dan penapisan petroleum dan fosil-gas.

Kebanyakan pencemaran GHG daripada industri petroleum adalah hasil kegiatan pelepasan dan pembakaran hidrokarbon yang boleh dielakkan dengan teknologi sedia ada.

Ketiga, perlu diutamakan penggunaan pengangkutan awam. Penggunaan kenderaan persendirian yang semakin bertambah bukan sahaja melepaskan karbon dioksida yang mencemarkan udara, malah meningkatkan stres dan mengancam keselamatan rakyat.

Pembangunan jalan raya juga telah mengurangkan litupan tumbuh-tumbuhan dan meningkatkan suhu atmosfera.

Oleh itu, kerajaan perlu membangunkan sistem pengangkutan awam yang mampan. Mewujudkan pengangkutan awam berasaskan bus mass transit (BMT) yang mengutamakan bas elektrik di semua bandar di Malaysia.

Keempat, dilaksanakan moratorium kekal terhadap kegiatan pembalakan dan perlombongan di hutan primer. Hutan primer terdiri daripada spesies tumbuh-tumbuhan asli yang telah berkembang secara semula jadi tanpa campur tangan manusia.

Ia mempunyai biodiversiti yang lebih tinggi daripada hutan sekunder. Antara contoh hutan sekunder yang wujud di Malaysia adalah hutan paya bakau.

Selain moratorium kekal, kerajaan harus mewartakan hutan primer sebagai hutan simpanan kekal (HSK).-UTUSAN

BIRO ALAM SEKITAR dan KRISIS IKLIM (BASKI)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya