Tangani inflasi tanpa guna wang

Tangani inflasi tanpa guna wang

PENDUDUK yang ketiadaan wang untuk membeli bahan makanan boleh beralih kepada kaedah barter atau tukar-menukar barangan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KADAR inflasi dalam negara pada Julai lalu yang diukur menerusi Indeks Harga Pengguna (IHP) mencatatkan kenaikan 4.4 peratus.

Kadar kenaikan ini jauh lebih tinggi berbanding 3.4 peratus pada Jun sebelumnya. Lebih mengejutkan, kadar inflasi untuk tiga negeri meningkat melepasi paras purata inflasi nasional, iaitu Putrajaya (8.8 peratus), Selangor (5.2 peratus) dan Johor (4.7 peratus).

Berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, kumpulan makanan masih kekal menjadi penyumbang utama kenaikan inflasi dan dijangka akan berterusan untuk tempoh lama berikutan kenaikan harga komoditi global, gangguan rantaian bekalan domestik serta penyusutan ringgit.

Sememangnya, ramai mengharapkan bantuan dan campur tangan dari pihak kerajaan. Harus diingatkan, kerajaan tidak pernah bersikap lepas tangan, malah sentiasa prihatin atas kesengsaraan yang dihadapi dengan usaha menangani krisis ini dari perspektif makro yang lebih menyeluruh.

Di samping bergantung intervensi pihak kerajaan dan juga inisiatif badan-badan tertentu seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan pengguna dan pihak peruncit, kita sebagai ahli Keluarga Malaysia boleh mengambil langkah proaktif bagi meringankan segera beban golongan terkesan khususnya dari konteks komuniti setempat.

Justeru, individu, jawatankuasa kecil penduduk mahupun persatuan komuniti setempat boleh merangka langkah proaktif bagi memastikan tiada ahli kejiranan menghadapi krisis ekonomi ini bersendirian, sehingga ke tahap hidup melarat.

Inisiatif mewujudkan tabung makanan setempat merupakan inisiatif paling mudah yang boleh disegerakan bagi membantu mereka yang terkesan. Mungkin ada di kalangan kejiranan kita yang terkesan, tetapi segan untuk meminta sebarang bantuan.

Selain menyalurkan makanan lebihan ke tabung makanan setempat, sistem barter makanan tanpa menggunakan wang antara penduduk boleh juga diperkenalkan.

Sistem pertukaran makanan suka sama suka ini bukan sahaja boleh diamalkan bersama jiran bersebelahan, tetapi juga diluaskan ke seluruh kawasan kejiranan.

Ini boleh dilakukan secara harian mahupun mingguan, dengan memilih satu tempat berkumpul yang dipersetujui seperti di dewan komuniti, padang permainan atau rumah ibadat.

Mereka yang berminat untuk melakukan pertukaran, boleh sahaja hadir dan berbincang bijak berkenaan nisbah pertukaran yang dirasakan sesuai.

Jawatankuasa penduduk setempat juga boleh bekerjasama dengan pihak peniaga khususnya pemborong dan peruncit, ataupun berhubung terus dengan pengeluar dengan membuat pembelian pukal untuk bekalan komuniti terbabit.

Pembelian secara pukal bahan makanan asas tertentu seperti sayur-sayuran dan ternakan, makanan laut, bahkan bahan asas masakan sudah pasti dapat mengurangkan harga kos seunit dan lebih mampu milik untuk dinikmati bersama.

Pembelian pukal ini boleh juga dilaksanakan secara berkala, seperti sekali seminggu, bagi mengurangkan kos penghantaran.-UTUSAN

DR. MOHD. HAFIZ ZULFAKAR & MOHD. FAIZOL RIZAL MOHD. RASID
Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Kampus Puncak Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya