Kita gagal bangun industri berintensif modal - Utusan Malaysia

Kita gagal bangun industri berintensif modal

PERGANTUNGAN kepada buruh asing akan memberi kesan negatif kepada ekonomi Malaysia. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research dalam satu kenyataan menyatakan kekurangan pekerja asing terus memberikan impak kepada banyak sektor ekonomi.

Kenyataan itu mendedahkan hakikat pergantungan Malaysia kepada tenaga pekerja asing. Berbanding dengan negara-negara lain di rantau ini, Malaysia terkenal dengan kehadiran buruh asing yang signifikan jumlahnya.

Dalam proses perindustriannya, Malaysia lebih tertumpu dan berjaya dalam industri berintensif buruh dan gagal dalam industri berintensif modal. Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia, pekerja asing berada di sekitar 15 peratus daripada jumlah pekerja di Malaysia.

Dengan kehadiran yang ramai itu, peranan yang dimainkan oleh buruh asing dalam ekonomi Malaysia juga semakin ketara dan bukan hanya tertumpu kepada sektor-sektor pembantu rumah, perladangan dan pembinaan sahaja.

Pekerja asing sekarang turut memainkan peranan penting dalam sektor elektrik dan elektronik, makanan dan minuman serta pelancongan.

Kehadiran buruh asing ini bukan merampas hak pekerjaan rakyat Malaysia, tetapi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh rakyat kita. Oleh kerana bilangan buruh asing terlalu ramai, kerajaan telah menyekat kemasukan mereka. Reaksi awal majikan adalah tidak positif.

Mereka mengatakan sekatan itu akan merumitkan lagi masalah kekurangan tenaga buruh dan melambatkan proses pemulihan ekonomi kesan daripada pandemik Covid-19.

Keputusan menyekat kemasukan buruh asing telah ditarik balik mulai 17 Ogos lalu dan disambut baik oleh banyak pihak. Apakah kesan langkah terbaharu ini?

Upah

Pertama, ia melambatkan proses perubahan struktur ekonomi. Upah rendah yang dibayar kepada buruh asing melambatkan proses pemindahan kepada ekonomi yang berorientasikan teknologi.

Ini kerana majikan berasa selesa dengan pekerja asing dan melambatkan pelaburan dalam teknologi yang boleh menggantikan buruh.

Keadaan ini tidak selaras dengan hasrat Malaysia untuk menerajui industri-industri berteknologi tinggi seperti yang dianjurkan dalam Revolusi Perindustrian Keempat.

Kedua, ia akan menyukarkan pelaksanaan skim gaji minimum. Pergantungan kepada buruh asing yang rendah upahnya menyukarkan kita melaksanakan skim upah minimum kerana penentangan kuat dari pihak majikan yang menolak sebarang langkah yang akan menambah kos.

Ketiga, berlaku pertembungan budaya asing dengan budaya tempatan. Telah ada usaha untuk mengatasi masalah ini dengan mengambil buruh asing yang mempunyai budaya hampir sama dengan Malaysia. Bagaimanapun, ini sukar dicapai apabila masih ada pengambilan pekerja asing dari pelbagai negara.

Keempat, pekerja asing yang ramai menyebabkan permintaan kepada kemudahan-kemudahan awam (seperti pendidikan dan perkhidmatan sosial) semakin meningkat.

Kelima, pergantungan kepada buruh asing mungkin menyulitkan Malaysia untuk menarik pelaburan kerana terpaksa bersaing dengan Indonesia, Vietnam dan Filipina yang mempunyai bekalan buruh banyak dan kos upah pula lebih rendah. – UTUSAN

NASARUDDIN ARSHAD, Bekas pensyarah ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.