fbpx

Dari politik pasif media sosial kepada politik aktif

GOLONGAN muda lebih banyak terlibat dengan politik pasif di media sosial.-GAMBAR HIASAN

SAUDARA PENGARANG,

BANYAK kajian di seluruh dunia mendapati kadar mengundi terutama dalam kalangan pengundi muda menunjukkan penurunan. Malah semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu mencatatkan anggaran peratusan keluar mengundi golongan muda berkurangan daripada 83 peratus pada 2013 kepada 79 peratus.

Namun, ini tidak bermakna mereka tidak mempedulikan soal politik. Ini kerana remaja pada hari ini lebih banyak terlibat dalam politik pasif melalui media sosial seperti melakukan retweet, like, berkongsi berita atau pendapat berkaitan politik. Bagaimanapun, adakah penglibatan secara pasif ini membawa kepada penyertaan politik yang lebih aktif seperti menyertai aktiviti berpolitik secara bersemuka termasuk turun mengundi?

Tidak dinafikan, komunikasi politik semasa kebanyakannya berlaku di platform media sosial. Dalam penglibatan komunikasi politik secara konvensional, rakyat perlu menyatakan pendapat melalui saluran media massa seperti menulis esei untuk akhbar, terlibat dalam kempen politik atau menghadiri perjumpaan arti politik. Sebaliknya, menyertai politik di media sosial hanya semudah meluahkan pandangan kepada rakan, berkongsi berita politik, atau ‘menyukai’ perdebatan politik netizen. Lebih menarik, media sosial memberi peluang kepada semua terlibat dalam komunikasi politik.

Terdapat banyak potensi dan manfaat melalui media sosial. Paling utama, komunikasi politik melalui cara ini menyediakan peluang bagi mereka yang tidak berminat soal politik untuk belajar bersama rakan rangkaian sosial yang lebih cakna.

Pendedahan maklumat secara tidak langsung memberi peluang kepada golongan muda menemui maklumat politik yang selalunya dielakkan dan berpotensi menjadikan mereka terlibat dalam aktiviti politik khususnya untuk turun mengundi.

Dengan penurunan kadar umur mengundi kepada 18 tahun berkuat kuasa Disember 2021, penyertaan politik pengundi kali pertama dalam kalangan remaja sangat penting. Ia melibatkan pertambahan 5.8 juta pengundi berumur antara 18 dan 21 tahun dan akan menjadikan jumlah pengundi berdaftar negara yang kini 15.8 juta, meningkat sekitar 40 peratus kepada 21.1 juta pengundi.

Diharapkan pengundi kali pertama pada pilihan raya akan datang bukan sahaja aktif secara pasif di papan kekunci dan timeline media sosial, tetapi juga terlibat aktif dalam aktiviti politik khususnya dengan turun mengundi. -UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MOHD. FAIZAL KASMANI
Dekan Program Komunikasi Media Baharu
Fakulti Kepimpinan & Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

RSS Error: WP HTTP Error: cURL error 28: Operation timed out after 10001 milliseconds with 0 bytes received