Cegah tabiat pakai topi keledar mainan - Utusan Malaysia

Cegah tabiat pakai topi keledar mainan

MENJADI kesalahan trafik sekiranya seseorang menaiki motosikal tanpa memakai topi keledar. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TOPI keledar adalah alat perlindungan yang wajib dipakai oleh penunggang dan pembonceng motosikal. Tetapi ada yang malas dan menganggap pemakaian ini melecehkan, lebih-lebih lagi sekiranya hendak pergi ke destinasi yang jaraknya berdekatan seperti kawasan kampung dan taman perumahan.

Adalah menjadi kesalahan trafik sekiranya seseorang yang menunggang motosikal tanpa memakainya. Jika sabit kesalahan, mereka yang tidak memakai topi keledar boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan bagi kesalahan pertama di bawah Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Topi keledar berfungsi untuk memberi perlindungan keselamatan pada bahagian kepala manusia khususnya tengkorak yang melindungi otak sekiranya pemakai jatuh akibat impak pelanggaran.

Seperti kita sedia maklum, penunggang dan pembonceng motosikal adalah golongan berisiko tinggi mengalami kecederaan teruk apabila berlaku kemalangan jalan raya.

Selain itu, topi keledar berperanan untuk mencegah objek terbang secara tiba-tiba mengenai kepala serta mengurangkan kesan jatuh dan hentakan.

Namun, bagi membolehkan topi keledar memainkan peranan keselamatan ini, ia mesti memenuhi spesifikasi dan lulus kriteria minimum piawaian keselamatan.

Justeru, demi menjamin piawaian dan standard kualiti ditepati, topi keledar motosikal di negara kita harus mendapat kelulusan daripada SIRIM Berhad.

Ciri-ciri minimum topi keledar yang diperakui oleh SIRIM termasuk saiz sesuai, berwarna cerah, pengudaraan yang baik, mempunyai tali dan pengikat serta memiliki aksesori tambahan perlindungan seperti pelindung muka dan dagu.

Komponen topi keledar juga harus diperbuat daripada bahan yang sesuai seperti plastik atau gentian kaca ketahanan tinggi (lapisan luar), kain sintetik dan gabus stirofoam (lapisan serapan dalaman).

Piawaian

Ketika ini, terdapat banyak jenis topi keledar yang dipakai golongan remaja didapati tidak selamat untuk dipakai. Terdapat laporan berita baru-baru ini, sekurang-kurangnya 20,000 unit topi keledar tidak patuh piawaian SIRIM dengan harga serendah RM20 telah terjual terutama menerusi portal e-dagang popular dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

Kurangnya pendedahan terhadap maklumat piawaian serta kedudukan kewangan yang masih mengharap wang ibu bapa mungkin menyebabkan remaja membeli dan menggunakan topi keledar tidak memenuhi spesifikasi dan piawaian keselamatan.

Dalam pada itu, terdapat trend ibu bapa sekadar membeli topi keledar mainan untuk dipakai oleh anak mereka yang membonceng motosikal atas dasar ‘janji ada.’

Topi keledar mainan ini dikatakan menjadi pilihan kerana mempunyai gambar karakter kartun kegemaran kanak-kanak, lebih murah, ringan dan selasa dipakai khususnya mereka yang berumur tujuh tahun ke bawah.

Ia sememangnya tidak selamat kerana diperbuat daripada plastik nipis semata-mata dan tidak mampu menahan hentakan kuat ataupun memberi perlindungan sepatutnya pada kepala kanak-kanak.

Cukuplah ia hanya dipakai di rumah sebagai alat mainan dan bukan diguna ketika menaiki motosikal. Memakai topi keledar ketika menaiki motosikal sebenarnya sangat mudah dan tidak membebankan. Sarungkan topi keledar, laras dan ketik klip pengetat sebelum menaiki motosikal.

Patuhilah nasihat dan arahan ini agar dapat mengelakkan kesan buruk apabila terlibat dengan kejadian tidak diingini. Lebih buruk, jangan pula membiarkan anak kita menunggang dan membonceng motosikal tanpa tidak memakai apa-apa perlindungan di kepala. – UTUSAN

DR. MOHD. HAFIZ ZULFAKAR & DR. SHAHRIN NASIR, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.