SAUDARA PENGARANG,
PARTI Amanah Negara (Amanah) lembik dan lesu? Itulah yang menjadi perdebatan hangat sehingga kini dalam kalangan komponen parti politik Pakatan Harapan (PH) terutama akar umbi PKR.
Keberadaan Amanah dalam PH selama ini dilihat tidak ubah seperti melukut di tepi gantang kerana masih tetap dibayangi oleh DAP. Bahkan gagal untuk menggantikan Pas sebagai wadah politik Islam yang lebih segar dan lebih manusiawi. Inilah kelemahan dan kekurangan Amanah yang tidak memiliki daya intelektual atau idea untuk menenggelamkan pengaruh serta melemahkan Pas pada saat parti itu tergelincir jauh dari landasan untuk memandu ummah ke arah kesejahteraan rakyat dan negara.
Apa yang dikesalkan ialah pemimpin Amanah cuba berlagak hero seolah-olah menganggap mereka bijak dalam membuat keputusan yang tidak selari dengan kehendak akar umbi PH. Cuba tanya, adakah semakin bertambah keahliannya? Malah tindakan bekas Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa yang memilih untuk meletak jawatan jelas menunjukkan kekecewaan beliau.
Persoalannya, mengapa pemimpin Amanah tidak sedar kerajaan PH tumbang kerana perancangan dan pengkhianatan?
Jadi, pemimpin Amanah perlu sedar bahawa niat meneruskan kerjasama dengan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) sepatutnya tidak boleh berlaku kerana Syed Saddiq Syed Abdul Rahman adalah antara individu yang menyokong penuh Tun Dr. Mahathir Mohamad. Mungkin Syed Saddiq adalah proksi bekas Perdana Menteri itu untuk melemahkan PH.
Oleh sebab itu, wajar sekali para pemimpin PH berwaspada supaya tidak lagi terjatuh dua kali ke dalam lubang yang sama. Jikalau pemimpin Amanah terus berdegil, maka PH perlu singkirkan sahaja Amanah dan minta mereka bekerjsama dengan Gerakan Tanah Air (GTA) atau MUDA.-UTUSAN
CUCU TOK JANGGUT
Pulau Pinang