KANGAR: Pengeluaran hasil harumanis Perlis musim ini dijangka meningkat sehingga 2,963.32 tan metrik dengan sasaran pendapatan dianggarkan mencecah RM74 juta.
Musim harumanis di Perlis dijangka bermula pertengahan Mac ini membabitkan keseluruhan kawasan tanaman sehingga 1,775,56 hektar melibatkan 2,631 pengusaha di seluruh negeri ini.
Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Hafizuddin Othman berkata, pengeluaran harumanis Perlis musim ini dijangka menunjukkan peningkatan berbanding musim 2025.
Katanya, faktor cuaca dengan iklim panas dan kering serta perbezaan suhu siang dan malam sejak Disember lalu sangat membantu dalam penghasilan bunga selain bekalan air mencukupi untuk kelekatan dan penghasilan buah.
Beliau berkata, pengusaha yang melaksanakan amalan pengurusan ladang mengikut bimbingan Jabatan Pertanian turut dapat memberikan potensi hasil lebih baik dengan buah berkualiti.
“Berdasarkan pemerhatian, pengeluaran harumanis musim ini dijangka bermula pertengahan Mac sehingga Jun. Namun terdapat pengusaha yang telah mula menuai hasil sejak Januari lalu.
“Kawasan terlibat dengan hasil lebih awal itu adalah di Chuping, Mata Ayer, Padang Siding, Beseri dan Paya dengan pengeluaran sebanyak 17.46 tan metrik. Ia kerana terdapat pengusaha yang berjaya melaksanakan amalan pengurusan bagi kawalan bunga dan putik untuk mengawal kerosakan akibat penyakit semasa hujan.
“Sasaran pendapatan hasil harumanis musim ini dianggar berjumlah RM74,083,000 dengan anggaran hasil pengeluaran sebanyak 2,963.32 tan metrik iaitu membabitkan kadar purata harga jualan RM25 per kilogram melibatkan keluasan potensi berhasil seluas 1,693.33 hektar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Hafizuddin berkata, cuaca panas dan kering ketika proses pembungaan menjadi antara faktor pokok berbuah lebat.
Katanya, musim kemarau panjang tanpa hujan membantu pengurusan ladang kerana bunga menjadi putik dan mengurangkan kerosakan pada bunga.
Antara faktor mempengaruhi hasil ialah amalan agronomi yang betul termasuk pemangkasan, pembajaan dan kawalan perosak serta penyakit.
“Pengusaha yang mengikuti kursus dan khidmat nasihat Jabatan Pertanian, turut mempengaruhi pengeluaran hasil baik dan bermutu tinggi,” katanya.
Sementara itu, harga harumanis di pasaran adalah antara RM25 hingga RM60 sekilogram bergantung kepada kualiti dan permintaan.
Bagi ladang di bawah pengurusan Jabatan Pertanian Perlis, harga ditetapkan antara RM29 hingga RM49 per kilogram mengikut gred. – UTUSAN










