Transformasi pendidikan selari dengan teknologi - Utusan Malaysia

Transformasi pendidikan selari dengan teknologi

SISTEM pendidikan perlu bergerak ke hadapan seiring dengan perkembangan teknologi dan perubahan zaman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

HIJRAH dalam maknanya yang luas adalah bagi menuntut perubahan ke arah yang lebih baik. Ia mencakupi semua makna yang terkandung di dalamnya erti taghyir, islah, tajdid dan inqilab.

Ia bukan diertikan peleburan, pelunturan atau kecairan sehingga menghilangkan identiti. Hijrah adalah tamayyuz dan ia adalah perubahan berasaskan manhaj Qurani iaitu in out.

Perlu difahami, hijrah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW adalah satu bentuk transformasi ummah secara holistik menuju ke arah sistem sosial dan bernegara yang tertegak atas keadilan dan ihsan.

Hijrah adalah keluar dari sistem yang bobrok, menindas dan zalim ke satu sistem yang menjamin kestabilan untuk semua manusia merentasi sempadan bangsa dan anutan yang akur kepada prinsip ubudiyah lillahi wahdah.

Hijrah bukan satu escapism (pelarian) atau bukan juga satu ketakutan dan kelemahan atau rasa rasa rendah diri tetapi langkah strategik membina tapak-tapak kekuatan dan mengangkat jiwa izzah (kemuliaan atau kehormatan) dan kemerdekaan yang hakiki.

Paksi utama hijrah ialah transformasi ilmu dan pemikiran dengan dukungan iman untuk mencari kualiti kehidupan yang lebih baik dan menjamin kestabilan. Ia menuntut pengorbanan, perjuangan dan kesatuan yang bukan kepalang.

Dalam konteks pendidikan hari ini, makna hijrah perlu diterjemahkan untuk meningkatkan kualiti pendidikan ke arah lebih baik. Satu anjakan transformasi di dalam sistem pendidikan negara untuk membina masa depan bangsa yang maju, kuat dan berdaulat.

Sistem pendidikan kita perlu bergerak ke hadapan seiring dengan perkembangan teknologi dan perubahan zaman. Transformasi pendidikan perlu segera mengadaptasi suasana lingkungan berdepan dengan cabaran projek pendigitalan Revolusi Industri (IR) 5.0, kecerdasan buatan (AI) dan era internet kebendaan (IoT).

Kemiskinan, keciciran pendidikan, jurang digital, kualiti infrastruktur, sekolah daif, beban tugas guru, kepelbagaian aliran pendidikan, penghayatan nilai dan adab adalah cabaran yang menuntut semangat hijrah yang sebenar.

Pendidikan hari ini perlu menekankan tiga komponen penting iaitu kualiti guru, murid dan sistem (dasar serta kurikulum) bagi menzahirkan erti hijrah yang sebenar yang mampu membina ummah dan membangun satu peradaban hebat.

Usaha ini memerlukan satu gerakan yang kuat dan holistik. Ia bermula dengan transformasi minda dan jiwa merdeka. – UTUSAN

MOHD. AZIZEE HASAN, Presiden iGuru

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya