SAUDARA PENGARANG,
PENIPUAN maklumat pekerjaan dalam resume untuk mendapatkan pekerjaan bukanlah isu baharu. Terdapat sebilangan individu yang sanggup mengaku mempunyai kemahiran dan pengalaman diperlukan semata-mata untuk menarik perhatian bakal majikan.
Namun, mereka lupa bahawa tindakan tidak berintegriti dan tidak bermoral itu dapat dihidu dan diketahui melalui pelbagai cara oleh majikan pada suatu ketika nanti. Kemajuan teknologi memudahkan majikan membuat pengesahan tentang latar belakang sebenar seseorang pekerja.
Penipuan maklumat tentang kemahiran, pengalaman serta tarikh dan tanggungjawab pekerjaan yang lepas dalam resume merupakan perkara serius khususnya apabila melibatkan individu yang diberikan jawatan tinggi dalam sesebuah syarikat. Individu sebegini sepatutnya mempunyai integriti yang boleh dijadikan teladan dan bukannya sempadan.
Penipuan dalam resume wajar didedahkan supaya majikan tidak terus tertipu oleh pekerja yang melakukan penipuan sebegini.
Begitu juga diharapkan agar dengan pendedahan seperti ini dapat menjadi pengajaran kepada masyarakat supaya telus dalam mendapatkan pekerjaan.
Bagi majikan pula, pendedahan ini menjadi sempadan untuk lebih berhati-hati dalam mengesahkan latar belakang pemohon pekerjaan di syarikat masing-masing supaya mereka tidak dipermain-mainkan terutama melibatkan pengalaman bekerja di luar negara.
Semoga pendedahan salah laku sebegini dapat membanteras penipuan dalam kalangan masyarakat khususnya mereka yang berpendidikan tinggi demi membina masyarakat bersih, telus dan amanah.-UTUSAN
TINTA FAKTA
Selangor