fbpx

Cari punca semangat kemerdekaan semakin pudar

DENGAN berbelanja kurang RM10, sebuah rumah sudah boleh memasang satu atau dua Jalur Gemilang. – GAMBAR HIASAN

SAUDARA PENGARANG,

ESOK kita akan menyambut hari kemerdekaan yang ke-65. Sebelum itu, pelbagai kisah kita telah dengar dan baca tentang semangat rakyat untuk mengenang dan menyambutnya seperti memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang.

Ada yang berhabis sehingga RM11,000 mengubah suai motosikal semata-mata meraikan hari bersejarah ini dan ramai pula yang buat tidak kisah terhadap sambutan ulang tahun kemerdekaan.

Ini dapat dilihat pada premis perniagaan dan rumah yang tiada kibaran Jalur Gemilang. Kalau ada pun boleh dikira dengan jari dan fenomena ini sudah tentu menimbulkan pelbagai persoalan tentang semangat patriotisme masyarakat kita.

Kibaran Jalur Gemilang menunjukkan kita menghargai kemerdekaan, mengenang perjuangan tokoh-tokoh yang membebaskan negara daripada penjajah dan sebagai simbolik kita sayangkan negara ini.

Dengan berbelanja kurang RM10, sebuah rumah sudah boleh memasang satu atau dua Jalur Gemilang. Semangat sayangkan negara bukan sekadar ucapan atau laungan di mulut, tetapi perlu diterjemahkan dengan kibaran bendera.

Kita jangan berharap murid sekolah sahaja yang berbaris mengibarkan bendera, menyertai aktiviti seperti syarahan dan peraduan untuk menyemarakkan sambutan hari merdeka, tetapi yang lain hanya duduk diam di rumah.

Seterusnya, kurangnya kibaran Jalur Gemilang di pejabat kerajaan dan swasta menunjukkan masih ada pihak yang tidak menghayati semangat kemerdekaan terutama bangunan di pusat pentadbiran di peringkat Pusat dan negeri.

Di mana silapnya apabila semangat rakyat untuk menghargai dan menghayati sambutan kemerdekaan kian pudar? Kita juga tidak mahu usaha menyemarakkan hari bersejarah ini dipikul oleh sesetengah kaum sahaja, walhal kestabilan ekonomi dan kemakmuran negara dikecapi oleh semua.

Ayuh rakyat Malaysia, kibarkan Jalur Gemilang untuk memberitahu dunia bahawa kita berbangga dengan kebebasan yang dikecapi. –UTUSAN

ABDUL HAMID, Temerloh, Pahang

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN