BRI tingkatekonomi negara

BRI tingkat ekonomi negara

FASILITI perdagangan berpotensi tingkat ekonomi melalui Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

China merupakan rakan perdagangan terbesar Malaysia sejak 12 tahun lalu. Jika dilihat kepada trend perdagangan dua hala di antara Malaysia dan China yang terkini menunjukkan peningkatan.

Pada Mac 2022, jumlah perdagangan dengan China adalah sebanyak 16.5 peratus dari keseluruhan perdagangan Malaysia iaitu pertumbuhan sebanyak 15.2 peratus tahun ke tahun kepada RM39.2 billion. Ini disumbangkan oleh jumlah eksport ke China meningkat sebanyak 10.7 peratus kepada RM17.79 billion dalam industri Elektrik dan Elektronik (E&E) dan minyak kelapa sawit serta barangan kelapa sawit. Import dari China pula meningkat kepada 19.3 peratus kepada RM21.23 billion.

Negara yang telah menandatangani perjanjian dengan China harus memastikan kerjasama tersebut seiring dengan hasrat dan dasar kerajaan dalam mengukuhkan ekonomi dan kebajikan rakyat. Soal imbangan dalam memperolehi faedah dagangan di antara China dan negara-negara kecil seperti Malaysia turut menjadi isu bagaimana Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) boleh dijayakan dan dinikmati oleh semua negara yang terlibat.

Dalam ekonomi digital, fasilitasi perdagangan akan menjadi faktor paling penting kerana kemudahan melakukan perniagaan tanpa sempadan dengan meggunakan teknologi internet dan telefon pintar.

Jika dilihat kepada indeks purata fasilitasi perdagangan China, pada 2019 telah meningkat kepada 1.561 dari 1.356 pada tahun 2017. Manakala, Malaysia pula mencatatkan indeks purata sebanyak 1.418 pada  2019, meningkat dari 1.272 pada tahun 2017.

Malaysia telah menunjukkan kesungguhan untuk menambahbaik sistem perdagangan dua hala dengan melihat kenaikan indeks dari 1.33 pada tahun 2017 kepada 1.61 pada tahun 2019.

Malaysia mengambil keputusan menilai semula projek di bawah BRI pada tahun 2018 tetapi terdapat projek tertentu yang diteruskan pada tahun 2019. Antara projek yang sedang dijalankan adalah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

China telah membuat pelaburan sebanyak RM1.58 bilion dalam projek Taman Industri Kuantan-Malaysia (MCKIP) dalam menjadikan  Pelabuhan Kuantan sebagai pelabuhan penting untuk China.

Kesimpulannya, perjanjian di antara China dan negara-negara di ASEAN dalam BRI juga memberi kelebihan kepada Malaysia dalam mengharmonikan prosedur dan dokumen berkaitan aktiviti perdagangan sama ada dalam pengangkutan darat atau laut.

BRI bukan sahaja mampu melonjakkan nilai dagangan antara Malaysia dan China tetapi dapat membantu mengurangkan kos perdagangan antara negara dan memberi peluang syarikat kecil dan sederhana membuat tambah nilai dalam perniagaan melalui inisiatif ini.-UTUSAN

HANNY ZURINA HAMZAH

Pensyarah Kanan di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN