Malaysia, Singapura sepakat selesaikan isu FIR

Malaysia, Singapura sepakat selesaikan isu FIR

ANWAR Ibrahim bersama Perdana Menteri Republik Singapura, Lawrence Wong pada mesyuarat empat mata di Singapura. - Pejabat Perdana Menteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dan Singapura bersetuju memastikan pergerakan penerbangan antara kedua-dua negara pada masa depan perlu berjalan lancar dan tanpa sebarang halangan.

Perkara itu disepakati kedua-dua negara hasil perbincangan berterusan mengenai Kawasan Maklumat Penerbangan (FIR).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia menghargai keperluan Singapura untuk memastikan aliran penerbangan yang selamat dan efisien ke Lapangan Terbang Changi dan Seletar manakala Malaysia pula memerlukan pergerakan udara yang lancar ke Sabah dan Sarawak.

“Kita memahami aliran udara yang cekap dan selamat ke Changi dan Seletar perlu mempunyai jaminan sama seperti Malaysia memerlukan aliran bebas ke timur, termasuk ke Sabah dan Sarawak.

“Sebarang aturan yang dibuat mestilah tidak menjejaskan pergerakan trafik udara. Jika prinsip ini diterima, saya yakin kita boleh bergerak ke hadapan,” katanya pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong selepas Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia–Singapura kali ke-12.

Menurut Perdana Menteri, perbincangan berterusan di peringkat pemimpin telah membuahkan kemajuan dalam menangani isu FIR yang telah lama tertangguh.

“Usaha ini penting bagi memastikan kedua-dua negara mencapai penyelesaian bagi beberapa isu yang masih belum selesai,” katanya.

Mengulas isu sempadan laut, Anwar berkata, Malaysia dan Singapura perlu bekerjasama secara konstruktif untuk mencari penyelesaian yang baik.

Katanya, pendirian ini telah dijelaskan kepada Perdana Menteri Singapura serta anggota Kabinet dan pegawai yang terlibat, dengan menekankan bahawa kedua-dua negara jiran seiring dalam isu serantau dan perdagangan. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN