PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Singapura hari ini bagi memulakan program rasmi yang bermula dengan menghadiri Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia–Singapura kali ke-12.
Menurut beliau, pemukiman tahunan itu merupakan platform penting bagi kepemimpinan kedua-dua negara memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang khususnya hal berkepentingan bersama.
“Sebagai negara jiran terdekat dan rakan dalam ASEAN, saya yakin hubungan diplomatik Malaysia dan Singapura yang semakin rapat dan kukuh akan terus memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara, Insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dalam lawatan kerja singkat itu, Anwar dijadual menghadiri sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-12 di The Ritz-Carlton, Millenia pada tengah hari ini.
Kedua-dua pemimpin, Anwar dan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong juga dijadual menyaksikan majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dan perjanjian.
Kenyataan Bersama Pemimpin akan dikeluarkan pada penghujung sesi pemukiman tersebut.
Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura yang dilaksanakan secara bergilir antara kedua-dua negara merupakan mekanisme tertinggi untuk menilai kemajuan kerjasama dua hala, membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama serta meneroka peluang baharu bagi memperkukuh hubungan dua negara jiran itu.
Singapura kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia, dengan jumlah dagangan dua hala bernilai AS$78.70 bilion (RM339.39 bilion) dari Januari hingga Oktober 2025, mewakilli 13.5 peratus daripada jumlah perdagangan negara.
Tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Singapura. – UTUSAN








