Bimbang transformasi perkhidmatan awam terencat - Utusan Malaysia

Bimbang transformasi perkhidmatan awam terencat

TULAR di di media sosial baru-baru ini berkenaan pegawai tinggi perkhidmatan awam menengking pegawai Jabatan Imigresen di KLIA, Sepang, Selangor. – GAMBAR HIASAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TULAR di media sosial baru-baru ini berkenaan pegawai tinggi perkhidmatan awam menengking pegawai Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 3 Ogos lalu.

Berita seperti ini sekiranya benar-benar berlaku, pasti menjejaskan imej perkhidmatan awam di mata masyarakat. Isu ini telah tersebar secara meluas meskipun kita tidak pasti perkara sebenar.

Saya mengesyorkan kepada pegawai yang merasakan dirinya dibuli supaya mengambil tindakan perundangan bagi memberi pengajaran kepada penjawat awam lain agar memahami serta menghormati tugas masing-masing, bukan bertindak sesuka hati sehingga merendahkan imej perkhidmatan awam di mata masyarakat.

Dalam hal ini, saya yakin Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dapat melihat permasalahan ini untuk dibawa kepada Ketua Setiausaha Negara atau Perdana Menteri dalam sesi perjumpaan pada masa-masa akan datang.

Kita tidak ingin melihat usaha kerajaan melakukan transformasi perkhidmatan awam akhirnya terencat kerana masih ada segelintir penjawat awam yang berkuasa bertindak secara emosi dan membuli pegawai bawahan sehingga mengaibkan seseorang.

Pegawai yang bermasalah serta tidak menunjukkan teladan baik perlu diarah berpencen awal kerana tindak-tanduk mereka yang jelas menjejaskan reputasi perkhidmatan awam secara holistik.

Iltizam semua pihak termasuk tindakan secara profesional perlu dilaksanakan segera bagi memulihkan imej perkhidmatan awam yang sentiasa menjadi perhatian masyarakat.

Anda harus ingat, setiap tindakan dan kata-kata anda sentiasa diperhatikan serta mudah disebarkan di media sosial terutama jika seseorang berpengaruh. – UTUSAN

RAKYAT MARHAEN, Damansara, Kuala Lumpur

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN