Berdakwah dengan kasih sayang - Utusan Malaysia

Berdakwah dengan kasih sayang

PERLU diukur tahap intelektual individu yang hendak disampaikan dakwah supaya segala diperkatakan tidak memberatkan mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

APABILA menyebut tentang dakwah, ada pihak yang menyatakan berdakwah perlu dengan cara berhikmah. Hikmah bermaksud perlu mengambil kira keadaan dan suasana persekitaran serta tahap intelektual individu yang hendak didakwah supaya segala disampaikan tidak memberatkan mereka.

Selain itu, pendakwah juga haruslah mempunyai kemahiran dari sudut komunikasi dalam berhadapan dengan mereka yang hendak didakwah seperti mempelbagaikan cara berbicara dan kaedah penyampaian mengikut situasi dan latar belakang individu terbabit.

Malahan, kemahiran berbicara atau berkomunikasi dalam berdakwah haruslah disertai dengan bukti dan hujah. Menggunakan dalil logik yang jelas dengan fakta adalah elemen hikmah. Aspek logik dan fakta dalam berdakwah termasuk menggunakan perbandingan, analogi, contoh dan sumpah.

Sebenarnya melalui hikmah pendakwah dapat mendatangkan lebih banyak faedah dan kemudahan yang besar berbanding kemudaratan atau kesulitan.

Pendakwah berhikmah pandai memilih perkara yang terbaik dan sesuai mengikut keadaan yang dihadapinya. Hal ini kerana hikmah boleh menjadi kelembutan pada waktu perlu lembut, boleh menjadi kekerasan bila perlu pada waktunya.

Selain itu, psikologi dalam berdakwah juga elemen hikmah yang penting. Ini termasuk menyelitkan gurauan tetapi masih dalam garisan syariat Islam dan mendidik.

Malahan, perkara diterapkan dalam psikologi dalam berdakwah juga adalah penekanan kepada pendakwah memiliki sifat simpati dan berkasih sayang terhadap orang didakwah.

Gunalah pendekatan kasih sayang, lemah lembut, pengulangan, mengikut tahap dan kemampuan serta bertutur dengan bahasa yang boleh difahami serta membina hubungan baik dengan orang yang hendak didakwah.

Justeru, hikmah mempunyai kedudukannya yang penting dalam menentukan keberkesanan dakwah seseorang khususnya dalam meraikan kepelbagaian orang yang hendak didakwah. – UTUSAN

AEMY ELYANI MAT ZAIN, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.