fbpx

Ambil tahu hal selenggara kereta

JANGAN sesekali mengabaikan penyelenggaraan kenderaan bagi mengelak penambahan kos akibat pelbagai kerosakan.

SAUDARA PENGARANG,

MASALAH kurang pengetahuan asas berkaitan penjagaan komponen kenderaan dalam kalangan pelajar universiti menjadi salah satu punca kemalangan, bahkan mengakibatkan mereka terpaksa menghabiskan sejumlah wang untuk membaiki kerosakan yang memerlukan kos membaik pulih yang tinggi.

Hal ini sering terjadi apabila pelajar mengabaikan penjagaan minyak hitam enjin, ketebalan bunga tayar, kestabilan kenderaan dan banyak lagi. Kebanyakan mereka menyerahkan hal berkaitan penyelenggaraan kenderaan kepada ibu bapa.

Tanpa mereka sedar, penyelenggaraan amat penting terutama dalam menjaga jangka hayat kenderaan selain mengurangkan risiko kemalangan.

Ramai pelajar hanya ke bengkel untuk membaiki kenderaan yang rosak akibat tidak melakukan servis mengikut jadual ditetapkan. Ini menyebabkan kenderaan menjadi semakin teruk sekali gus mengakibatkan peningkatan kemalangan jalan raya.

Oleh itu, bagi mengelak kecelakaan di jalan raya atau kos selenggara meningkat akibat pelbagai kerosakan, pastikan kenderaan sentiasa diselenggara mengikut jadual ditetapkan.

Malah dengan mengambil tahu dan peka terhadap kenderaan dapat ‘menyelamatkan’ anda daripada ditipu oleh mekanik. Banyak bertanya kepada mekanik agar anda tahu mengenai komponen kenderaan serta jangan bertukar-tukar bengkel. Ini penting bagi mengelak diri ‘dimakan’ oleh mekanik.

Justeru, amat penting untuk pemilik atau pengguna kenderaan mengetahui perkara asas penjagaan bagi mengelak kerugian besar dan juga kemalangan.-UTUSAN

MOHD. NAZMI ROSLIN
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!