SAUDARA PENGARANG,
KRISIS bekalan makanan sedang melanda Malaysia. Harga pelbagai bahan makanan sedang melambung naik termasuk minyak masak, ayam, ikan, sayur-sayuran dan beberapa lagi sehingga rakyat marah.
Kerajaan sedang cuba mengendalikan situasi ini menggunakan beberapa pendekatan termasuk penetapan harga siling bahan makanan tertentu seperti ayam dan telur ayam.
Tetapi kaedah ini boleh mengurangkan keuntungan pengeluar sehingga mereka tidak berminat mengeluarkannya lagi kerana keuntungan yang berkurangan.
Jika menjual dengan harga melebihi harga siling, mereka boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan. Jadi, lebih baik berundur sahaja daripada perniagaan ayam buat masa ini.
Untuk mengatasi masalah kenaikan harga dedak, kos ubat bagi ayam dan sebagainya, kerajaan telah mengamalkan pendekatan bayaran subsidi kepada pembekal ayam untuk membantu mereka menampung kos menternak.
Kerajaan menawarkan subsidi sebanyak 60 sen sekilogram pada Februari 2022 tetapi ramai penternak ayam mengadu bahawa ini tidak mencukupi untuk mereka menampung segala kos menternak.
Ada pihak mendesak kerajaan meningkatkan lagi subsidi harga ayam tetapi ada juga pihak berhujah bahawa subsidi ini dinikmati sebenarnya oleh golongan kaya di mana mereka mungkin lebih mampu makan ayam dengan kerap berbanding golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
Ada juga pihak mencadangkan harga siling ayam dibenarkan untuk meningkat ke RM10 sekilogram dan subsidi ayam dikekalkan pada 60 sen sekilogram.
Tanah
Tambahan pula setiap keluarga yang sedang menerima Bantuan Keluarga Malaysia diberikan bantuan tambahan sebanyak RM200 sebulan untuk enam bulan akan datang bagi menampung peningkatan kos makanan harian.
Terpulang kepada mereka jika mahu menggunakan bantuan tersebut untuk membeli ayam mahal ataupun membeli bahan makanan lain.
Pendekatan lain adalah mengkaji semula pelan induk kebangsaan berkaitan penggunaan tanah negara. Setakat ini, daripada keluasan 32.865 juta hektar tanah, 55 peratus digazet sebagai tanah berhutan.
Sebanyak 23 peratus daripada tanah ataupun 7.6 juta hektar sedang digunakan untuk pertanian dan 22 peratus bagi projek perbandaran, perumahan, jalan raya, loji air dan sebagainya.
Dalam pada itu, daripada 7.6 juta hektar yang digunakan untuk pertanian, hanya 1.5 juta hektar menghasilkan makanan rakyat kita termasuk 0.7 juta hektar penanaman padi.
Sebanyak lima juta hektar dikhususkan untuk kelapa sawit dan 1.1 juta hektar pengeluaran getah. Nisbah penggunaan tanah pertanian harus dikaji semula memandangkan bekalan makanan untuk rakyat kita diancam bukan sahaja kerana berlakunya perang di Ukraine tetapi juga perubahan iklim.
Sebahagian tanah yang dikhususkan untuk kelapa sawit dan getah harus ditukarkan guna tanah kepada penanaman padi, jagung, kacang soya dan sumber makanan lain.
Satu akta harus digubal bagi mewajibkan syarikat-syarikat perladangan menggunakan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada jumlah tanah mereka untuk menanam padi, jagung, sayur dan bahan makanan lain.
Jika mereka gagal buat begitu dalam suatu tempoh masa tertentu, kerajaan harus mengambil sebahagian tanah ladang yang sesuai untuk tujuan penanaman bahan makanan dan memajaknya kepada petani. – UTUSAN
DR. JEYAKUMAR DEVARAJ, Kuala Lumpur