Setuju jika TPM baharu ada kuasa - Utusan Malaysia

Setuju jika TPM baharu ada kuasa

MENGAPA Bersatu begitu berminat untuk mengambil alih jawatan Zuraida Kamaruddin (dua dari kanan) sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi? – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA 11 Julai lalu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, perjanjian berhubung pelantikan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dalam Perikatan Nasional (PN) sememangnya wujud, malah mempunyai saksi daripada Bersatu dan Pas semasa draf perjanjian itu dimeterai.

Muhyiddin berkata, perjanjian itu dimeterai beliau sebagai Pengerusi PN disaksikan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin manakala Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menggubal draf perjanjian. Menurutnya, perjanjian itu diketahui oleh semua kepemimpinan tertinggi PN.

Tambah beliau, antara kandungan perjanjian itu adalah Pas ada kuota tiga (menteri), Bersatu ada 10 manakala UMNO ada bilangan tertentu. Sebab itu apabila Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin keluar dari Bersatu, sewajarnya kuota itu diisi ahli Parlimen Bersatu.

Sebenarnya, sebagai seorang pengundi, saya memang tidak nampak apa-apa faedah langsung kepada kita atau negara keseluruhannya untuk mempunyai TPM ketika ini.

Jika ahli politik kita turun padang, mereka akan faham bahawa sebilangan besar rakyat sangat menderita dan masih terkial-kial dengan kesan pandemik Covid-19.

Perkara terakhir dalam ­fikiran rakyat adalah pelantikan TPM. Melainkan TPM baharu mempunyai beberapa jenis kuasa luar biasa, kami pengundi tidak melihat apa-apa faedah atau keperluan untuk dibuat pelantikan itu.

Bagi rakyat biasa, pergelutan untuk menjadi TPM tidak lain hanya agenda peribadi pemimpin tertentu yang serupa dengan pemimpin berada dalam kluster mahkamah, iaitu usaha untuk menutup dosa mereka pada masa lampau.

Pengacau

Pada masa genting seperti ini, apa yang kita mahu ialah menteri dan ahli politik yang boleh membantu negara dan rakyat bangkit semula setelah dilanda pandemik Covid-19.

Kami tidak mahu ahli politik berebut kuasa hanya untuk kepentingan peribadi bagi melepaskan dirinya daripada apa sahaja yang dia lakukan pada masa lalu.

Bagi kami, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menjalankan tugas dengan baik dan usaha beliau cuba dihalang oleh pengacau yang tidak sepatutnya berada di situ sejak awal lagi.

Para pengacau ini menggoyang perahu atas sebab-sebab yang jelas dan kami pengundi benar-benar kecewa dengan perkara ini kerana mahu Ismail Sabri meneruskan kerjanya dan membantu negara kembali berdiri.

Kami sebagai pengundi hairan, apakah sumbangan Bersatu kepada negara sehingga melayakkan parti itu untuk menuntut jawatan TPM? Semakin ramai ahli politik meninggalkan Bersatu, manakala Zuraida yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi juga telah berpindah parti.

Yang menyedihkan lagi ialah apabila menteri seperti Zuraida yang benar-benar bekerja, yang lain pula tidak begitu suka dan mahu menjatuhkan menteri itu. Mengapa Bersatu begitu berminat untuk mengambil alih jawatan Zuraida?

Jika beliau berjaya meningkatkan eksport komoditi negara kita, membuka pasaran baharu dan menjalankan tugasnya dengan berkesan, maka tiada sebab untuk beliau berundur.

Sebaliknya, Bersatu harus melihat ke halaman belakang mereka sendiri dan menyingkirkan beberapa ‘kayu mati’ yang berada dalam parti itu.

Pilihan raya umum (PRU) akan datang pastinya akan menjadi sangat menarik dan sudah tiba masanya pengundi menolak sama sekali semua ahli politik yang tidak berprestasi dan mereka yang mempunyai kes mahkamah. – UTUSAN

SHAID UMAR SYED ALWI, Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya