SAUDARA PENGARANG,
SEANDAINYA anda seorang penganggur, agak-agak sanggupkah bekerja sebagai pekerja pembersihan, buruh di ladang kelapa sawit atau pekerja di tapak pembinaan?
Majoritinya saya berani jamin, tidak mahu bekerja di ketiga-tiga tempat yang saya sebutkan tadi. Sebab apa ini berlaku? Ini adalah bertitik tolak daripada rantaian kehidupan seorang manusia sejak lahir lagi.
Sejak kecil kita sebenarnya tidak mahu kerja susah seperti ayah dan ibu. Kita rasa kasihan melihat mereka bekerja di sawah, menangkap ikan dan sebagainya.
Saya rasa jika mereka diberi pilihan, pasti mereka ingin kerja gomen (kerajaan). Tapi apa pilihan yang mereka ada? Keluarga Malaysia pada 1957 dahulu bukan macam Keluarga Malaysia sekarang.
Dahulu kebanyakan orang mempunyai anak yang ramai. Anak yang sulung biasanya akan sekolah setakat darjah enam sahaja. Adakah anak sulung ketika itu tidak cerdik? Dia ingin memberi peluang adik-adiknya belajar pula, maklumlah adik-beradik ramai.
Inilah yang digelar pengorbanan. Dia kasihan melihat ayah dan ibunya bekerja dalam sektor kotor, bahaya dan sukar (3D) untuk membesarkan mereka semua.
Ibu bapa kalau boleh tidak mahu anak dan cucu-cicit mereka hidup susah serta kerja tidak menjamin masa hadapan. Ini kerana ibu bapa kita zaman dahulu ikhlas menganggap kerja itu ibadah.
Jadi, zaman sekarang Keluarga Malaysia lebih suka bekerja di kawasan-kawasan industri berhawa dingin daripada memegang galah pemotong tandan buah kelapa sawit di bawah panas matahari.
Saya rasa Keluarga Malaysia perlu bersedia juga berada dalam sektor 3D. Jika tidak, sampai bila kita mengharapkan titik peluh warga Bangladesh, Indonesia atau Pakistan tumpah di bumi Malaysia semata-semata mengharapkan rezeki halal di negara yang digelar Darul Rahmat ini.
Rakyat Malaysia harus bersedia jika 14 negara menghentikan tenaga kerja asing. Tepuk dada, tanya hati. Sampai bila hendak mengemis tenaga asing? Allahuakbar! – UTUSAN
IBNU ARASY DZIKRULLAH
Kepala Batas, Pulau Pinang