Perkasa sektor pertanian seperti zaman Pak Lah - Utusan Malaysia

Perkasa sektor pertanian seperti zaman Pak Lah

ABDULLAH Ahmad Badawi (kanan) ketika mengambil alih teraju negara pada 2003 pernah menekankan pentingnya sektor pertanian diperkasakan. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PERBELANJAAN keperluan asas sebahagian besar rakyat Malaysia kini menunjukkan trend peningkatan ketara. Bagi mereka yang berpendapatan sederhana (M40) dan rendah (B40) serta mempunyai saiz keluarga besar, situasi ini memberikan tekanan yang bukan sedikit.

Justeru, bagi menangani masalah ini dengan lebih berkesan, sudah sampai masanya kebergantungan negara kepada import bekalan makanan dikendurkan.

Ini bermakna sektor pertanian dan penternakan perlu dirancakkan kembali memandangkan Malaysia mempunyai tanah subur untuk bercucuk tanam.

Penggunaan tanah kosong perlu dioptimumkan untuk projek pertanian serta hadkan projek pembangunan bukan pertanian yang kini agak berlebih-lebihan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika mengambil alih teraju negara pada 2003 pernah menekankan pentingnya sektor pertanian diperkasakan.

Beliau memperkenalkan slogan Pertanian adalah Perniagaan bagi mengubah pemikiran petani supaya tidak hanya mengeluarkan hasil tani untuk keperluan hidup semata-mata sebaliknya bagi menjana pendapatan dan meraih kekayaan.

Mengambil kira sejumlah lebih 100,000 hektar tanah terbiar tanpa diusahakan di seluruh negara, maka amat rugi kelebihan tersebut tidak dimanfaatkan sebaik mungkin.

Bagi saya, sektor pertanian kita terlalu mengutamakan kelapa sawit dan getah sehingga mengabaikan pengeluaran bahan pertanian lain.

Apa pun, masih belum terlambat untuk memperbaiki keadaan ini. Adalah diharapkan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini untuk tidak mengeluarkan permit import (AP) bagi bahan makanan tertentu dapat merancakkan sektor pertanian domestik. – UTUSAN

MOHD. SALLEH OSMAN, Presint 16, Putrajaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN