Pelik minyak masak paket ghaib

Pelik minyak masak paket ghaib

minyak
MINYAK masak paket dijual pada harga RM2.50 satu kilogram. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

APABILA kerajaan memansuhkan subsidi minyak masak botol satu, dua, tiga dan lima kilogram (kg) pada 1 Julai lalu, harga minyak berkenaan naik lebih 40 peratus.

Contohnya, harga minyak masak lima kg sewaktu subsidi adalah sebanyak RM29.70 berbanding harga tanpa subsidi RM42.70.

Sebagai pilihan, rakyat berpendapatan rendah (B40) diberi pilihan membeli minyak paket satu kg yang berharga RM2.50 tetapi lain pula yang berlaku, iaitu minyak cepat habis.

Minyak masak terbabit sentiasa ketiadaan stok walaupun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah memaklumkan kerajaan memperuntukkan sebanyak 60,000 tan metrik minyak masak paket bersubsidi kepada pengilang.

Ia untuk diagihkan kepada pembungkus dan pemborong yang akan mengedarkannya semula dalam bentuk paket satu kg. Jumlah 60,000 tan metrik bersamaan 60 juta kg.

Ini bermakna sebanyak 60 juta paket minyak masak satu kg diagihkan setiap bulan. Ini juga bermakna setiap penduduk akan mendapat kuota dua kg sebulan bagi 30 juta rakyat Malaysia. Harga sebenar minyak masak paket ialah RM9 tetapi harga subsidi RM2.50, iaitu paling murah dalam dunia.

Persoalannya, ke mana ghaib minyak masak paket? Akibat kekurangan dan kehabisan bekalan di kedai runcit dan pasar raya, pembeli terpaksa membeli dalam botol yang mahal.

Memaksa

Kalau dapat membeli dalam paket pula dihadkan sebanyak dua atau tiga sahaja dan ada sesetengah kedai memaksa pembeli membeli barangan lain bagi mendapatkan bahan keperluan itu.

Kita tidak mahu rakyat terutama golongan bawahan tertekan akibat dicengkam pelbagai masalah sedangkan mereka sepatutnya memberi tumpuan untuk membina hidup baharu selepas pandemik Covid-19.

Bagi saya, kekurangan barangan keperluan ini di pasaran berkemungkinan akibat penyeludupan ke luar negara kerana harganya yang murah. Minyak masak paket bersubsidi dibungkus semula dan dijual dengan harga tinggi.

Mungkin terdapat juga perbuatan pekedai menyorok supaya pembeli membeli minyak masak dalam botol yang lebih mahal sekali gus membolehkan peniaga mendapat keuntungan besar.

Keuntungan

Jika pembeli terpaksa juga melakukan pembelian dalam botol tanpa subsidi itu dan ia habis dijual, pekedai akan mendapat keuntungan lebih besar.

Oleh itu, KPDNHEP dan agensi berkaitan perlu menyiasat dan menyelesaikan masalah ini memandangkan rakyat terjejas akibat kenaikan harga barang dan kos sara hidup tinggi.

Akibat kesan kenaikan harga barang dan kos hidup tinggi, ramai golongan berpendapatan pertengahan (M40) sudah menjadi B40 dan mereka sudah tentu ingin membeli barangan murah dan bersubsidi dan sebagainya terutama menjelang Hari Raya Aidiladha.

Sebelum ini, KPDNHEP pernah menyebut kekurangan itu kerana tindakan pengusaha kedai makan yang turut sama membeli barangan bersubsidi dan juga dibeli golongan T20 serta M40.

Rakyat berharap kerajaan dapat mengenal pasti punca berlaku kekurangan bekalan bahan keperluan ini di pasaran secepat mungkin dan mengambil langkah untuk mengatasinya dengan segera. – UTUSAN

ABDUL HAMID, Temerloh, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya