Pastikan makanan mangsa banjir dilabel

Pastikan makanan mangsa banjir dilabel

WARGA emas yang rendah daya tahan penyakit mudah terdedah kepada keracunan makanan ketika banjir. – GAMBAR HIASAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, dilaporkan berlaku banjir kilat yang menjejaskan puluhan rumah penduduk di Kupang, Baling, Kedah setelah hujan lebat berterusan melebihi tiga jam.

Sudah pasti pelbagai keperitan dialami oleh mangsa banjir termasuk dalam kalangan warga emas dan kanak-kanak. Bantuan utama yang diperlukan pastinya dalam bentuk makanan. Rata-rata bantuan yang diberikan mencukupi dan kadangkala berlebihan.

Namun, sebilangan rakyat yang bermurah hati ini kadangkala alpa dalam memastikan sumbangan makanan kepada mangsa adalah bersih dan selamat untuk dimakan.

Sudah menjadi tanggungjawab kepada para sukarelawan untuk memastikan makanan yang diagihkan itu selamat untuk dimakan kerana isu keselamatan makanan termaktub dalam Akta Makanan 1983 dan kegagalan untuk mematuhinya boleh disabitkan sebagai satu kesalahan.

Secara umumnya, suatu makanan dianggap selamat untuk dimakan dalam tempoh empat jam selepas penyediaannya. Sekiranya melebihi dari tempoh yang ditetapkan, dikhuatiri berlaku penyebaran kuman dan bakteria.

Walaupun isu ini dianggap sebagai remeh, kita perlu sedar bahawa bakteria dalam makanan boleh memudaratkan kesihatan khususnya kepada warga emas yang rendah daya tahan penyakit dan bakal terdedah kepada keracunan makanan.

Hal yang sama mungkin terjadi kepada kanak-kanak yang masih lagi mempunyai daya imun yang rendah.

Justeru, terdapat beberapa cadangan yang boleh dibuat oleh para sukarelawan dalam menangani isu ini antaranya adalah melabelkan tempoh masa penyediaan makanan di setiap bakul makanan untuk dijadikan rujukan mangsa banjir.

Para sukarelawan juga harus mengagihkan susu suhu ultratinggi (UHT) kepada kanak-kanak kerana pengambilan susu penting bagi mereka apatah lagi kekurangan kemudahan untuk menyediakan air yang dimasak.-UTUSAN

DR. MUHAMMAD HAFIZ BADARULZAMAN
Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya