KULIM: Polis sedang mengesan pemandu treler serta saksi bebas bagi membantu siasatan kes kemalangan maut disyaki langgar lari di Jalan Titi Karangan-Baling berhampiran Inokom, di sini, semalam
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Syamsul Sinring berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, sebuah motosikal jenis Honda Wave terlibat kemalangan dengan sebuah treler disyaki berwarna kuning.
Menurutnya, penunggang motosikal terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Kita masih mengesan nombor pendaftaran kenderaan terlibat bagi membantu siasatan dan berdasarkan maklumat saksi, kenderaan terbabit mungkin tidak mengalami kerosakan akibat kemalangan tersebut.
“Saksi turut memaklumkan kenderaan itu dipercayai sebuah treler dengan bahagian hadapan berwarna kuning dan bahagian belakangnya biru,” katanya di sini, hari ini.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim atau pegawai penyiasat, Inspektor Nurzety Adawiyah Muhamad di talian 011-33982365 bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN










