Naik OPR dua kali langkah drastik

Naik OPR dua kali langkah drastik

KERATAN akhbar Utusan Malaysia, 9 Julai 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA bersetuju dengan tulisan Pengarang Berita Utusan Malaysia, Teon Eg yang disiarkan dalam kolum Minda Pengarang pada 9 Julai lalu apabila beliau mencadangkan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dibuat secara bersasar iaitu hanya dikenakan kepada peminjam yang mampu bayar.

Baru-baru ini, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus. Sebelum itu pada Mei, BNM turut menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada dua peratus.

Tindakan menaikan OPR sebanyak dua kali untuk membendung inflasi adalah langkah drastik. Kita menjangka inflasi akan terus meningkat jika subsidi kepada barangan keperluan asas dihapuskan.
Kenaikan OPR yang akan memberi kesan negatif kepada peminjam bank dan mereka dijangka menghadapi masalah bebanan membayar balik pinjaman.

Saya bersetuju dengan dakwaan pakar-pakar ekonomi yang kenaikan OPR boleh meningkatkan lagi kos pengeluaran dan inflasi. Ini kerana kenaikan kos pengeluaran ini akan dipindahkan kepada pengguna.
Saya juga bersetuju dengan dakwaan bahawa keuntungan bank-bank akan meningkat. Ini kerana kenaikan margin mereka.

Selain itu, keuntungan bank juga meningkat kerana mereka mempercepatkan penyemakan semula kadar yang dikenakan ke atas pinjaman masing-masing berbanding dengan penyemakan semula kadar yang dikenakan ke atas deposit.

Saya tidak bersetuju dengan dakwaan pakar-pakar ekonomi yang menyatakan kenaikan OPR boleh menaikan nilai ringgit yang lemah pada masa ini. Nilai ringgit ditentukan oleh banyak faktor di luar kawalan kita seperti jumlah aliran masuk wang asing yang banyak.

Aliran masuk ini pula ditentukan oleh persepsi dan prospek ekonomi Malaysia yang pada masa ini berdepan dengan risiko kemelesetan ekonomi global yang dijangka pada tahun depan.

Cadangan kenaikan OPR bersasar oleh Pengarang Berita itu adalah satu cadangan inovatif jika dapat dilaksanakan. Selain itu, saya mencadangkan penstrukturan semula sistem pasaran kita yang banyak bersifat monopoli dan oligopoli bagi menggalakkan persaingan.-UTUSAN

NASARUDDIN ARSHAD
Bekas pensyarah ekonomi
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN