Mahu elaun guru penolong kanan

Mahu elaun guru penolong kanan

GURU penolong kanan masih mengajar walaupun terpaksa memikul tanggungjawab sebagai guru besar sepanjang ketiadaan mereka. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

GURU-GURU yang menjadi warden di asrama di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) pastinya berasa gembira dan teruja dengan pengumuman Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin yang menaikkan kadar elaun daripada RM240 kepada RM300.

Bagaimanapun, masih ramai yang meluahkan pendapat bahawa elaun itu tidak setimpal dengan tanggungjawab mereka ketika ini.

Dalam masa sama, KPM perlu meneliti dan melihat elaun yang diterima Guru Penolong Kanan (GPK) ketika ini yang hanya RM60.

Tugas GPK pada hari ini sangat mencabar. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa ramai guru tidak berminat menjadi GPK kerana tanggungjawab yang berat dengan elaun tidak seberapa.

Apabila dilantik sebagai GPK, mereka terpaksa berpindah ke sekolah lain yang mungkin lebih jauh dari rumah sebelum ini.

Ini bermakna duit minyak semakin bertambah sekiranya berulang-alik. Malah, mereka terpaksa meninggalkan keluarga semata-mata menerima tugas GPK.

Tugas guru di sekolah bukan hanya sekadar mendidik murid, sebaliknya ada banyak lagi tugasan yang mungkin ramai tidak tahu terutama menggantikan tugas guru besar sepanjang ketiadaan mereka di sekolah. Dalam masa sama, mereka masih harus mengajar di kelas-kelas yang ditetapkan.

Mereka juga bertanggungjawab kepada guru besar dalam hal kurikulum, pentadbiran dan pengurusan guru serta kakitangan bukan guru selain menyelia dan menilai pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Bahkan banyak lagi tugas-tugas GPK dalam hal kurikulum dan pentadbiran sekolah.

Jadi, sewajarnya KPM memberi pertimbangan untuk menaikkan elaun GPK bagi memberi semangat kepada guru-guru menjalankan tugas tersebut. – UTUSAN

GURU PRIHATIN
Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN