LKIM punca nelayan miskin?

LKIM punca nelayan miskin?

SEPATUTNYA kita sudah lama mempunyai ramai nelayan moden yang mampu menggunakan peralatan canggih dan bot besar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, terdapat laporan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bertindak segera membeli ikan terus daripada nelayan untuk dijadikan stok penimbal dalam usaha membantu menstabilkan harga dan mengimbangi bekalan bagi menjamin sekuriti makanan negara.

Untuk tujuan itu, sejumlah RM7 juta diperuntukkan sebagai modal pusingan pembelian ikan tempatan sebanyak 1,000 tan metrik yang akan ditempatkan di 130 bilik sejuk beku di seluruh negara.

Pada masa sama, berkuat kuasa serta-merta, pengguna boleh mendapatkan bekalan ikan segar beku jenama Q’Fish untuk lapan jenis ikan iaitu kembong, pelaling, selar, selayang, cencaru, aya kurik, selar (pelata) dan tongkol pada harga siling RM10 sekilogram.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kira-kira 90,000 nelayan kecil tempatan di seluruh negara mengeluh ekoran nasib mereka tidak berubah sejak sekian lama.

Ini kerana hasil tangkapan terpaksa dijual kepada orang tengah dengan harga rendah kerana mereka tiada akses memasarkan hasil laut kepada pemborong.

Kesediaan LKIM bertindak segera membeli ikan terus daripada nelayan untuk dijadikan stok penimbal dalam usaha membantu menstabilkan harga merupakan langkah penting walaupun kegiatan ini telah lama berlaku.

Yang lebih mustahak, dapat mengurangkan dan menghapuskan peranan orang tengah yang menguasai pasaran dan menindas nelayan.

Dalam menangani kehidupan nelayan, peranan LKIM dilihat kurang berfungsi walaupun telah ada kemudahan seperti kilang sejuk beku di Kuala Besut dan Kuala Kedah tetapi tidak beroperasi.

Juga, terdapat 43 pusat pendaratan ikan di seluruh negara tetapi hasil laut itu dijual terus kepada peraih atau orang tengah. Kalau diteliti, kemiskinan nelayan berpunca daripada kelemahan agensi perikanan itu sendiri.

Nelayan terikat dengan orang tengah atau along yang menjadi ‘bank’ memberi pinjaman mudah apabila nelayan dalam kesempitan hidup.

Setelah berada dalam cengkaman tauke ini, nelayan tidak bebas menjual hasil tangkapan mereka dan mereka mudah pula ditindas dan ikan dibeli dengan harga murah yang ditentukan oleh orang tengah terbabit. Kegiatan orang tengah atau kartel dalam industri ternakan ayam ada persamaan dengan industri perikanan.

Ia melibatkan penguasaan dan manipulasi harga seperti menaik atau menurunkan dengan alasan cuaca sehingga pembeli terpedaya dan mengganggu sekuriti makanan negara.

Sudah sampai masanya para nelayan diberi perhatian dan pembelaan sewajarnya oleh agensi berkaitan. Institusi kewangan seperti Agrobank perlulah memainkan peranan dalam menyediakan pinjaman mudah kepada nelayan untuk membiayai kehidupan mereka.

Bank terbabit juga perlu memberikan pembiayaan untuk membeli peralatan menangkap ikan seperti bot moden yang boleh beroperasi di laut dalam.

Kita tidak mahu akibat kesempitan hidup, ada yang sanggup menjual minyak diesel bersubsidi untuk mendapatkan wang tunai dan menjadi tali barut kepada nelayan asing yang menangkap ikan secara haram.

Apa yang kita mahu adalah nelayan kita digelar nelayan moden dan boleh beroperasi di laut menggunakan peralatan canggih, bot besar dan laju serta mampu berada di tengah laut untuk beberapa bulan dan hasil tangkapan boleh dieksport.

Mana tahu, pengangguran dapat dikurangkan dengan penglibatan golongan belia menjadi nelayan moden dengan melakukan transformasi sektor perikanan negara. – UTUSAN

ABDUL HAMID, Temerloh, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya