Laksana semula PdP dalam talian di sekolah, universiti - Utusan Malaysia

Laksana semula PdP dalam talian di sekolah, universiti

PELAKSANAAN pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian telah memberi banyak faedah kepada pelajar sepanjang pandemik Covid-19. – UTUSAN/AZAHAR HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, kita dikejutkan dengan isu peningkatan harga barangan dan perkhidmatan termasuk makanan yang dijual di kantin-kantin sekolah dan universiti. Isu in­flasi ini tidak dapat dielakkan kerana ia turut berlaku di serata dunia.

Antara punca kenaikan harga barangan dan perkhidmatan kerana semua negara kini dalam proses untuk membangunkan semula sektor ekonomi mereka selepas terjejas teruk akibat penularan virus Covid-19.

Sektor ekonomi tidak boleh dipulihkan dalam tempoh yang singkat. Dengan isu peningkatan harga barangan dan perkhidmatan ketika ini, Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) boleh mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan semula pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian.

Proses PdP secara dalam talian dapat menjimatkan kos kewangan dan perbelanjaan semua pihak. Pelajar sekolah tidak perlu lagi membazirkan wang mereka untuk bergerak ke sekolah setiap hari dan pulang semula ke rumah dengan menaiki kenderaan awam seperti bas atau van sekolah.

Mereka juga tidak perlu membelanjakan wang untuk membeli makanan di kantin atau di restoran, membeli pakaian seragam baharu, bahan bacaan dan beg sekolah serta pelbagai jenis perbelanjaan lain.

Bagi pelajar universiti pula, mereka tidak perlu membazir wang untuk menyewa rumah berdekatan tempat belajar. Mereka juga tidak perlu lagi membazirkan wang untuk menyewa atau membeli pelbagai jenis kenderaan semata-mata untuk ke kuliah.

Wang yang banyak juga tidak perlu dikeluarkan untuk membeli buku dan barang makanan harian. Sekiranya aktiviti PdP dilakukan secara dalam talian sama ada di peringkat sekolah atau universiti, banyak wang dapat dijimatkan sekali gus boleh mengurangkan beban kewangan dan perbelanjaan para pelajar.

Hibrid

Jika proses PdP secara dalam talian tidak sesuai dilakukan sepenuhnya setiap hari, KPM dan KPT boleh memberi pertimbangan untuk melaksanakan secara hibrid atau mengikut hari-hari tertentu setiap minggu.

Jika dilihat pelaksanaan PdP sebelum ini, tidak dapat dinafikan ia memberi banyak faedah kepada para pelajar sepanjang pelaksanaannya selama hampir dua tahun sejak 2020.

Ketika itu, PdP secara dalam talian menjadi satu keperluan mendesak di kala seluruh dunia termasuk Malaysia sedang bergelut dengan penularan virus Covid-19.

Penularan virus itu menyebabkan kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020. Antara inti pati utama PKP ialah penutupan semua sekolah dan universiti dalam negara.

Dengan kurangnya aktiviti bergerak secara fizikal, ia dapat meringankan beban para pelajar itu sendiri dalam proses pembelajaran mereka.

Tanpa banyak pergerakan, ia juga dapat menjamin aspek keselamatan dan kesihatan diri pelajar itu sendiri.

Proses PdP secara dalam talian ini juga dapat mengurangkan penggunaan bahan-bahan seperti kertas kerana segala tugasan yang diberikan oleh guru atau pensyarah dapat dilaksanakan melalui alam maya.

Ini dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar serta mengelak pembaziran kertas. Pada masa sama, para pelajar dapat didedahkan dengan pelbagai jenis aplikasi dan teknologi terkini yang boleh mengasah bakat dan kemahiran mereka untuk menghadapi dunia moden.

Akhir sekali, diharapkan KPM dan KPT dapat membuat pelbagai penambahbaikan bagi memastikan kaedah PdP secara dalam talian dapat dilaksanakan dengan jayanya. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya