Kelebihan bulan terakhir dalam kalendar Islam

Kelebihan bulan terakhir dalam kalendar Islam

UMAT Islam tidak harus melepaskan peluang melakukan segala amalan kebajikan ketika Zulhijah termasuk mengerjakan haji di Mekah. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEKARANG kita berada dalam Zulhijah iaitu bulan ke-12 atau bulan terakhir dalam kalendar Islam. Ia antara bulan yang mempunyai keistimewaan tersendiri.

Kelebihan Zulhijah dapat dilihat kepada terkumpulnya beberapa ibadah utama seperti solat, haji, puasa dan bersedekah sekali gus yang tidak berlaku pada bulan-bulan lain.

Sempena kedatangan bulan ini, umat Islam diajak mempertingkatkan amalan kebajikan dan ibadah dalam konteks menyeluruh meliputi hubungan dengan Allah SWT serta hubungan sesama manusia.

Keutamaan Zulhijah dapat dihayati menerusi nilai pengorbanan agung Nabi Ibrahim yang diperintahkan menyembelih anaknya, Nabi Ismail.

Ini termasuk amalan sunah yang dapat dilaksanakan dengan menyembelih binatang seperti lembu dan kambing pada Hari Raya Aidiladha bertujuan mendekatkan diri kepada-Nya.

Namun, diingatkan agar semua pihak dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan supaya penularan wabak Covid-19 dapat dibendung.

Dengan segala kebaikan dan keutamaan yang ada pada bulan ini, umat Islam diseru untuk tidak melepaskan peluang bagi melakukan amalan kebajikan mengikut kemampuan masing-masing.

Usah ada yang terlepas dan rugi daripada beroleh ganjaran dijanjikan sedangkan ia kini terhampar di hadapan mata.

Kita kena melipat gandakan amalan kebajikan di samping bermuhasabah diri terhadap segala yang telah dilakukan pada tahun ini.

Ambillah kesempatan sebelum tibanya tahun baharu 1444 Hijrah untuk menilai semula segala azam dan cita-cita setahun lalu, adakah sudah berjaya direalisasikan atau tidak?

Bulatkan tekad dan semangat untuk berusaha melakukan apa sahaja amalan ibadah selagi kesempatan masih ada agar tergolong dalam kelompok yang bahagia di dunia dan akhirat.

Usah juga dimusnahkan segala susah payah melakukan ibadah sejak awal tahun dan ditutup dengan dosa serta pelbagai kemungkaran pada akhir tahun. – UTUSAN

DR. MOHD. ALI MUHAMAD DON, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Pasir Gudang, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN